Monday, November 30, 2009

FC Rubin Kazan

Logo Kelab FC Rubin Kazan
Antara ungkapan Kurban Berdyev selepas memenangi perlawanan "Glory to Allah, we won"


Antara pemain Rubin Kazan yang meraikan jaringan gol ke atas Barcelona.


Lama sudah ingin menulis entri ini. Sejak pasukan ini telah mengalahkan Barcelona di Nou Camp di dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah. Kemudian berjaya mengekang Barcelona dari menang di tempat sendiri. Bermakna Barcelona setakat ini sama sekali tidak dapat mengalahkan pasukan kerdil dari Rusia ini.

Apakah Rubin Kazan ini? Pertama kali terdengar mengenai pasukan ini, saya ingatkan nama pemain bola. Rupa-rupanya nama sebuah kelab bolasepak dari Rusia. Saya masih tidak mempedulikan lagi. Tidak lama kemudian, kedengaran melalui berita Barcelona tumpas mengejut kepada Rubin Kazan di NOU CAMP, stadium pasukan Barcelona itu sendiri. Peristiwa ini yang membuka mata saya untuk cuba mengenali dengan lebih dekat lagi.

Kemudian, perlawanan semula antara kedua-dua pasukan ini di Bandar Kazan untuk timbal balik. Di kesempatan ini, saya cuba untuk berjaga untuk menonton perlawanan ini secara langsung menerusi kaca TV tambahan pula mana-mana perlawanan yang berlangsung di Rusia, ianya akan diawalkan sedikit jadi tidaklah saya perlu untuk berjaga hingga sepertiga malam. Kali ini saya melihat keadaan sebenar pasukan tersebut. Tiada seorang pun pemain Rubin Kazan yang saya kenal. Dan melihat mereka akan menentang Barcelona sebagai juara bertahan, terasa amat kerdil sekali pasukan ini.

Sememangnya benar. Apabila pasukan kerdil menentang pasukan gergasi, yang kerdil akan cuba bertahan selagi boleh dan keadaan biasa bagi Barcelona, mereka memegang bola dengan posesi yang lebih besar. Tapi sekali sekala dapat juga Rubin Kazan menyerang balas dan menyebabkan teman serumah yang merupakan penyokong tegar Barca tersekat nafas. Walaupun mengusai permainan, Barcelona nampaknya tidak dapat menembusi benteng pertahanan dan juga tidak berupaya menjaringkan gol.

Rakan yang sekali menonton sama perlawanan ini, berkata “Kamu lihat tangan pengurus pasukan Rubin Kazan itu, memegang semacam benda seperti tasbih. Mesti dia ini punya angkara Barca susah hendak menjaringkan gol.” Hmm, saya pun agak pelik melihat pengurus memegang tasbih. Sambil bekerja dan sambil berzikirkah?

Perkara inilah yang mendorong saya mengkaji serba sedikit mengenai Rubin Kazan ini. Rubin Kazan adalah kelab yang berpangkalan di Bandar Kazan di Rusia. Kazan adalah antara Bandar di Rusia yang diduduki oleh majoriti penganut agama Islam. Tidak hairanlah perlawanan tempoh hari saya ternampak bayangan menara masjid. Pengurus pasukan ini yang saya sebutkan tadi adalah Kurban Berdyev. Anda boleh lihat didalam gambar di atas. Beliau adalah seorang muslim yang sentiasa memegang tasbih ditangan walaupun sedang bekerja sebagai pengurus pasukan. Kebetulan pula, entri ini saya tuliskan ketika hari terakhir Raya Aidil Adha/Korban pada tahun ini.

Walaubagaimanapun nasib Rubin Kazan masih belum boleh ditentukan lagi didalam saingan Liga Juara-Juara Eropah setelah mencatat keputusan seri 0-0 dengan Dynamo Kyiv. Perlawanan akhir nanti bertemu Inter Milan akan menentukan nasib Rubin Kazan samada berjaya untuk layak ke peringkat kalah mati atau pun tidak. Walaubagaimanapun, ini adalah percubaan pertama mereka didalam saingan elit ini. Dan tahniah kepada Rubin Kazan kerana sekali lagi menjuarai saingan Liga Perdana Rusia untuk dua musim berturut-turut bermula 2008 dan terbaru pada dua hari lepas untuk saingan musim 2009. Tahniah untuk seluruh pasukan dan Kurban Berdyev. Teruskan kecemerlangan anda semua.


FEAR IS THE PATH TO THE DARK SIDE. FEAR LEADS TO ANGER. ANGER LEADS TO HATE. HATE... LEADS TO SUFFERING.
- Master Yoda -

No comments: