Tuesday, April 6, 2010

Elemen Kejuruteraan Alam Sekitar


Ini adalah salah satu subjek yang kami ambil untuk semester 7 ini. Sememangnya menarik tanpa ragu-ragu. Mengetahui permasalahan interaksi antara manusia dan manusia yang lain dan tidak dilupakan juga pada alam sekitar secara keseluruhannya. Pelbagai topik yang dipelajari sebenarnya dari pengenalan subjek ini secara umum, kualiti air, rawatan air, rawatan air kumbahan, pengurusan sisa pepejal, pencemaran udara dan akhir sekali yang baru dipelajari adalah PENCEMARAN BUNYI. Sudah tentu pensyarah kami yang unggul dengan ciri-ciri Islamik beliau membuatkan senang hati untuk menerima subjek ini secara menyeluruh.

Cuma satu masalah saja yang nak dituliskan disini, mengenai pencemaran bunyi. Permasalahan ini amat subjektif. Ini kerana penerimaan seseorang individu itu terhadap bunyi yang dihasilkan. Ada yang tidak tahan mendengar bunyi cengkerik sekalipun, ada pula yang boleh tidur lena walaupun rumah bersebelahan dengan jalan raya utama, ada pula yang merasakan lagu teramat rancak itu sebagai dodoian lagu untuk tidur dan pelbagai variasi lagi. Jadi untuk menilai sesuatu bunyi itu sebagai pencemaran sebenarnya adalah relatif antara satu sama lain. Cuma saintis sudah mengkaji dan mengukur bunyi pada kadar desibel (dB). 30 dB adalah dari perpustakaan kebiasaannya, 70 dB dari trafik yang sibuk, restoran yang bising dan pada tahap ini bunyi bising itu mungkin memberi kesan terhadap deria pendengaran. 80 dB pula boleh mendatangkan bahaya pada manusia iaitu mereka tidak boleh terdedah pada tahap ini melebihi 8 jam. Jika tidak mereka mungkin akan menghadapi kecacatan pendengaran sementara ataupun kekal mengikut tahap keterdedahan mereka itu. Jika 80 dB pun sudah merbahaya, apatah lagi untuk nilai yang lebih tinggi. Betulkan?

Jadi cuma mahu timbulkan persoalan, memandangkan pencemaran bunyi ini subjektif, jadi apakah rasanya nilaian untuk sebuah rumah yang disewa oleh jejaka-jejaka bujang yang melebihi 10 orang? Anda rasa berapakah nilai desibel yang akan direkodkan jika datangnya dari rumah bujang tersebut. Mungkin paling senyap adalah ketika pukul 7.00 pagi malah boleh mengalahkan kesenyapan perpustakaan. Dan dB tersebut itu juga mungkin boleh mencecah nilai yang tinggi mahupun ketika pukul 2.00 pagi. Apatah lagi kalau perlawanan bola sepak tetap dilaksanakan pukul 2.45 pagi, dB yang secara lumrahnya patut rendah pun mungkin tiba-tiba melantun tinggi.

Jadi atas fenomena tersebut, mungkin kesedaran dalaman adalah penting untuk cuba mengawal nilai dB ini dari membuatkan jiran-jiran yang lain naik meluat dengan rumah bujang tersebut. Walaupun mereka tidak tahu apa itu desibel, tapi mereka ada telinga, telinga pula tidak boleh dikawal. Bukan seperti mata, boleh dipejam. Bukan juga hidung, sekurang-kurangnya jika bernafas melalui mulut deria bau tak berfungsi. Telinga sentiasa terbuka 24 jam sehari. Tidak dapat dikawal melainkan memakai headphone istimewa dari makmal yang berkesan menghalang pencemaran bunyi memasuki telinga.

Jadi atas kesedaran tersebut, disini mungkin ada beberapa tips untuk merendahkan desibel yang dihasilkan untuk mengawal pencemaran bunyi tersebut dan antaranya;

1) Berborak dengan kadar suara normal tanpa perlu meninggikan suara.

2) Tidak perlu menjerit memanggil nama rakan. Pergi berhampiran dengannya dan menegur beliau dan teruskan dengan niat asal memanggil.

3) Jika terasa hendak melalak dan menyanyi sambil mendengar dari headphone, sila pastikan headphone dibuka sebelah untuk anda menilai sendiri suara anda itu sedap ataupun tidak, kuat ataupun tidak, pitching lari ataupun tidak semua atas nilaian anda.

4) Jika menonton perlawanan bola sepak secara langsung, pastikan diri anda sentiasa dikawal oleh pemikiran rasional anda. Jika pasukan anda menjaringkan gol, anda bolehlah menjerit gol secara senyap. Teknik ini boleh dipelajari secara eksklusif dari Basyir.

5) Jika menonton siaran yang kelakar, cuba-cuba ingatkan Tuhan dalam hati. Kerana sesungguhnya gelak yang besar itu akan menggelapkan hati. Secara tak langsung anda dapat mengawal pencemaran bunyi yang dihasilkan.

6) Jika berborak-borak dengan rakan anda, pastikan isu yang dibincangkan tidak sesensitif isu ‘FYP’ kerana mungkin butir-butir isi tersebut itu yang meluatkan jiran anda.

7) Tidak sangsi lagi, bunyi deruman motosikal akan memeriahkan suasana, jadi digalakkan menghidupkan kenderaan bersama-sama dan bergerak bersama-sama bagi mengelakkan deruman itu berpanjangan.

8) Jika mendengar lagu-lagu dan menonton filem melalui speaker mahupun subwoofer, dinasihati kadar kekuatan bunyi itu sekadar anda saja yang selesa mendengarnya. Jika ragu-ragu samada volume yang dipasang itu kuat ataupun tidak, anda bolehlah memanggil seseorang yang sensitif terhadap bunyi dan meminta beliau untuk menilainya. Jika kuat anda bolehlah memperlahankannya sedikit.

9) Mengajak ahli rumah beramai-ramai pada hari khamis malam jumaat untuk membaca Yasin. Nescaya tiada sesiapa yang akan memarahi bacaan Yasin itu sebagai bising melainkan jiran tersebut adalah non-muslim.

10) Sedekahkan pada jiran anda, setiap 10 rumah depan, kiri, kanan dan belakang beberapa buah headphone menutup telinga yang digunakan dimakmal ataupun dilapangan terbang itu. Nasihati mereka untuk sentiasa memakai headphone kedap bunyi tersebut jika terasa ada kebisingan melanda. Nyatakan pada mereka masalah kebisingan ini tidak dapat dibanteras kerana bunyi bising ini seperti bunyi mesin di makmal kejuruteraan mekanikal.

11) Jika ada inisiatif kejuruteraan, teknologi yang digunapakai didalam studio rakaman amat berguna. Seperti memanfaatkan bekas telur yang boleh menyerap bunyi itu dilekatkan didinding terutama sekali dinding yang bersebelahan rumah yang meluat dengan rumah anda. Dari dibuangkan begitu saja lebih baik dikitar semula untuk kebaikan bersama. Sambil itu, inisiatif menutup semua pintu, tingkap dan juga ruang terbuka yang membolehkan getaran bunyi itu disampaikan ke rumah yang lain juga merupakan jalan alternatif jika anda terasa juga mahu membuat bising seperti berlatih untuk pembentangan ‘FYP’.

Inilah antara inisiatif yang boleh digunapakai untuk mengurangkan pengeluaran pencemaran bunyi ataupun dalam nama Inggerisnya adalah ‘Mitigation’. Bukannya apa, selain dari kemudaratan kesihatan telinga anda, anda juga dapat mengurangkan risiko dari MBSA mengunjungi rumah anda kerana pencemaran bunyi tersebut. Tambahan pula risiko untuk dihalau dari rumah sewa juga akan berkurangan dengan drastik.

Buat akhirnya, renung-renugkan dan selamat beramal!



THE STRUGGLE TO SAVE THE GLOBAL ENVIRONMENT IS IN ONE WAY MUCH MORE DIFFICULT THAN THE STRUGGLE TO VANQUISH HITLER, FOR THIS TIME THE WAR IS WITH OURSELVES. WE ARE THE ENEMY, JUST AS WE HAVE ONLY OURSELVES AS ALLIES -Al Gore-

5 comments:

ASaL said...

teknik penulisan ini namanya satira.
tergelak besar jadinya.

Aderi Aryasu said...

ha3.. biasa la... nk relax2... blh la mengarut sikit2...

na said...

salam..bro

boleh tak ambik maklumat ckit..nak wat assignment berkaitan noice management - munauwarah _bintun_hanun@yahoo.com)

Aderi Aryasu said...

wsalam...

sila2... maklumat2 dlm entri ni tak tau nak cite dari mana sbb bljr dlm kelas...

Aderi Aryasu said...

wsalam...

sila2... maklumat2 dlm entri ni tak tau nak cite dari mana sbb bljr dlm kelas...