Monday, October 26, 2009

Tsunami At Haeundae




Ahn-hyung seyo! Setelah hampir 4 minggu bertungkus lumus menghabiskan pelbagai tugasan dan juga tanggungjawab sebagai pelajar, rasa di hati ingin memuaskan diri menonton filem di pawagam. Bukan satu, tapi perancangan asalnya ingin menonton tiga sekaligus tanpa menghiraukan hal sekeliling. Tapi itu perancangan awal, cerita apa yang mahu ditonton pun belum diputuskan lagi hinggalah saat-saat akhir. Ketika hari terakhir kuliah, terdetik ingin melihat sepintas lalu apa yang sekarang dihidangkan di pawagam MBO Galaxy Ampang buat masa ini. Terkejut juga saya kerana Tsunami At Haeundae masih lagi ditayangkan sedangkan sudah agak lama billboard filem ini terpampang di Lebuhraya Persekutuan.

Di tulis semula tajuk untuk pasaran Malaysia, Tsunami At Haeundae pada asalnya hanya bertulis Haeundae untuk pasaran Korea Selatan. Atas faktor apa dan mengapa diubah tajuk sedemikian tidaklah saya ketahuinya dengan lebih lanjut. Inilah kali pertama saya menonton filem bahasa asing (selain Inggeris) di pawagam. Lebih lagi, ini kali pertama saya menonton wayang dua cerita berturut-turut. Hasrat dihati ingin meneruskan marathon ini tetapi ternyata stamina tidak mengizinkan dan minda dan juga badan perlu berehat dari suhu yang rendah dan sejuk di dalam panggung.

Baiklah, mengenai kisah ini, secara ringkasnya saya dapat simpulkan bahawa filem ini mengambil pelbagai video-video realiti yang terpampang ketika fenomena tsunami yang melanda Asia pada penghujung tahun 2004 di mana 300 000 nyawa terkorban dalam peristiwa tersebut. Cuma yang berbezanya, semua peristiwa itu dikumpulkan dan diselitkan dalam kisah ini untuk latar Bandar peranginan Haeundae di Korea Selatan. Jika anda ingat rakaman di Sri Lanka, Aceh, Phuket dan juga Pulau Pinang – kisah ini tak lain hanya melakonkan semula rakaman-rakaman tersebut dengan gambaran lebih jelas.

Seperti cerita Sepi mahupun Cinta (sepatutnya ada contoh yang lebih lojik dari dua filem ini), ada beberapa peristiwa dan watak diutamakan dalam kisah ini antaranya kisah cinta antara penyelamat pantai dan kekasihnya, kisah bekas nelayan dan kekasihnya juga, kisah seorang anak yang pada dasarnya tidak mahu mengikut kata ibunya dan kisah seorang pengkaji gempa bumi bersama krisis keluarganya. Kesemuanya ini dirangkum dalam satu cerita supaya cerita ini tidak semata-mata kosong hanya untuk menampilkan bencana alam yang dahsyat.

Secara amnya, tahap kepuasan menonton filem ini hanyalah sederhana. Maklumlah filem ini adalah hasil buah tangan dari Korea Selatan bukanlah dari Hollywood. Sebaik keluar dari panggung, terus saya menganggap kisah ini hanyalah pemanas badan untuk filem yang betul-betul saya nantikan untuk berapa ketika ini iaitu 2012. Filem 2012 akan berada di pawagam dalam bulan November depan. Sebuah lagi filem bencana dari perspektif Hollywood dan hanyalah untuk hiburan minda sahaja. Akhirnya, Tsunami At Haeundae tidaklah membuatkan saya kagum seperti Death Notes dari Jepun. Gambatte Kudasai Nihon-go.

FEAR IS THE PATH TO THE DARK SIDE. FEAR LEADS TO ANGER. ANGER LEADS TO HATE. HATE... LEADS TO SUFFERING.
- Master Yoda -

2 comments:

Daud Mili said...

aku dah tgk tsunami thailand...xbest langsung grafik...yang nih best ke?...korea mesti best ek...

Aderi Aryasu said...

blh tahan la jgk.. rupe2nye special effect nye dibuat studio US jugak.. kire mantap la.. ala2 The Day After Tomorrow. Klau ko dh tgk la..