Saban hari berlalu di rumah sewa di Shah Alam, seringkali terlihat kelibat Hamiz seorang rakan bermain dengan permainan ini. Melihat sejak awal ketika beliau sedang berlatih dari mula sehingga mahir tanpa sebarang masalah untuk menyelesaikan permasalahan kiub ini. Tapi saya tidak lagi berminat untuk menyelesaikan kiub ini kerana sering berfikir suatu hari nanti sudah pasti saya akan berjaya menyelesaikannya jua.
Suatu masa ketika rakan-rakan semua sedang sibuk mengulangkaji untuk peperiksaan, saya berpeluang untuk memegang kiub ini. Lama memerhatikan kiub ini hanya untuk menyelesaikan satu permukaan sahaja namun tidak berjaya. Internet dibuka untuk mengetahui cara penyelesaiannya namun tampak sukar dengan tulisan dan turutan warna pada kiub yang berbeza menyukarkan untuk mempelajari teknik melalui tutorial di internet.
Namun Aizat rakan saya yang lain telah pun berjaya menyelesaikan dengan bimbingan Hamiz. Saya terpaksa meninggalkan dulu perjuangan dalam menyelesaikan permasalahan ini buat sementara waktu. Tetapi azam dalam diri yakin suatu hari nanti tentu saya akan menyelesaikannya dengan sendiri.
19 Disember 2009 adalah tarikh bermakna buat Atikah sepupu saya. Hari itu adalah hari pertunangan beliau. Saya sebagai sepupu datang menunjukkan muka dan menolong serba sedikit membantu melancarkan pergerakan majlis tersebut. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan ketika di penghujung majlis dan berkemas-kemas, sedang ketika berehat sebentar saya terlihat kiub ini sekali lagi di atas peti televisyen. Saya mengambilnya dan cuba menyelesaikan satu permukaan semula yang ditinggalkan tempoh hari di Shah Alam.
Seorang lagi sepupu saya A’am yang duduk berhampiran turut serta bercerita serba sedikit mengenai kiub ini dan cara penyelesaiannya. Namun malangnya dia juga tidak beberapa mahir tapi cuma cekap menyelesaikan satu permukaan sahaja. Itu sudah mencukupi bagi saya untuk mempelajari satu persatu teknik. Alangkah seronoknya kerana Kak Ju dan juga Abang Cik turut serta kerana kami adalah tiga beradik terakhir dalam adik beradik kami. Maka kami terkial-kial mencuba untuk menyelsaikan dan memanggil saudara yang lain untuk mengajar cara menyelesaikannya.
Namun petang itu berakhir dengan mempelajari satu permukaan. Keesokannya pada hari Ahad, saya bertekad untuk membeli kiub Rubik itu sendiri. Ini juga satu cabaran kerana pasaraya besar kesemuanya yang telah saya pergi sudah kehabisan stok. Di ketika kebuntuan itu saya telah bertekad memasuki sebuah kedai cenderemata seolah-olah kedai untuk perempuan kerana tema kedai adalah berwarna merah jambu. Dengan tekad hati saya memasuki juga kedai itu dan Alhamdulillah bertemu juga akhirnya. Saya membeli tiga sekaligus untuk Kak Ju dan juga Abang Cik. Maka bermulalah pembelajaran penuh makna bagi saya.
Seketika kemudian, Abang Cik sudah berjaya menyelesaikan lapisan satu dan saya dan Kak Ju pula masih lagi terkial-terkial. Disebabkan sudah terlalu lama di Keramat, Abang Cik terpaksa pulang ke Ipoh. Kak Ju pula tidur sebentar kerana penat berfikir untuk menyelesaikan masalah kiub ini. Tidak lama kemudian saya membelek-belek internet dan terjumpa laman web yang membantu menyelesaikan permasalah di kiub. Saya kemudian menunjukkan kiub yang sudah selesai kepada Kak Ju dan beliau agak terkejut. Tetapi cepat-cepat saya mengatakan ini adalah salah satu teknik menipu kerana menggunakan internet untuk membantu saya menyelesaikannya. Kemudian kami rakam aksi saya menyelesaikan menggunakan internet dan muat naik ke Facebook untuk ditunjukkan kepada Abang Cik.
Saya tidak pasti apakah reaksi beliau setelah melihat video saya. Tetapi saya di Keramat tergelak-gelak membayangkan apakah reaksi Abang Cik. Kemudian Andak pulang membawa mak ke Keramat. Rupa-rupanya Andak sudah mahir permainan ini. Lantas saya meminta beliau memberi tunjuk ajar untuk menyelesaikan kiub ini. Memandangkan kerana kerumitan untuk memahami dan menggerakkan kiub ini saya berjaya memahami lapisan dua saja. Lapisan satu yang penting terpaksa dipelajari sendiri menggunakan lojik.
Hari Isnin menunjukkan peningkatan prestasi saya kerana berjaya memahirkan penyelesaian lapisan dua. Akan tetapi Abang Cik telah memuat naik sebuah video ke dalam Facebook dan meminta saya melihatnya. Menakjubkan, Abang Cik pula yang berjaya menyelesaikan kiub ini. Kelihatan di dalam video beliau tidak menipu seperti yang saya lakukan. Abang Cik sememangnya hebat dan berbakat.
Kebetulan saya ada urusan di Shah Alam dan saya pun bergerak ke sana. Alhamdulillah di sana ada Hamiz dan juga Aizat. Lantas saya menuntut ilmu lapisan tiga dan permukaan akhir dari mereka berdua. Berlalu satu hari lagi dan memasuki hari Selasa. Kemudian setengah jam memasuki hari Rabu iaitu 12.35 pagi 23 Disember 2009 saya telah berjaya menyelesaikannya dengan usaha sendiri selepas pelbagai teknik dipelajari. Alhamdulillah. Harinya sudah tiba untuk saya berjaya menyelesaikan kiub ini.
Terima kasih ingin saya ucapkan disini kepada Aminuddin (A’am) kerana mengajar teknik menyelesaikan permukaan pertama. Tidak lupa juga kepada Andak kerana mengajar asas pergerakan untuk menyelesaikan lapisan satu dan juga dua. Sudah tentu terima kasih juga kepada Hamiz kerana mengajar teknik ‘Ikan’ dan juga ‘mata’ untuk langkah terakhir. Juga kepada Aizat mengajar teknik ‘pusing terbalik’ dan ‘pusing jam’ untuk persediaan kepada langkah akhir. Terima kasih dan juga selamat berjaya kepada teman seperjuangan memulakan pembelajaran kiub ini iaitu Kak Ju dan Abang Cik. Gambatte kudasai.
FEAR IS THE PATH TO THE DARK SIDE. FEAR LEADS TO ANGER. ANGER LEADS TO HATE. HATE... LEADS TO SUFFERING.
- Master Yoda -
- Master Yoda -
No comments:
Post a Comment