Sunday, January 17, 2010

Extra Site Investigation

Gambar adalah hiasan semata-mata.
Perlu tulis. Untuk rekod sendirian saja. Lagi sekali untuk tidak lupa kalau-kalau diperlukan di masa depan.



15 Januari 2010, Jumaat. Rakan meminta tolong untuk menggunakan van. Pada asalnya mereka minta untuk meminjam sahaja. Namun atas penerangan menyatakan van ini sudah ‘old school’ menggunakan gear tengkuk maka pemandu mereka menarik diri untuk memandu van tersebut. Lantas, dalam kesamaran itu mereka meminta tolong untuk saya memandu juga van tersebut bersama mereka untuk melaksanakan ‘Site Investigation’. Jadi, mahu tidak mahu saya tolong juga walaupun pada asalnya agak keberatan sedikit.

Mana taknya, dari empat orang kumpulan tersebut, hanya seorang saja yang saya kenali dan itu pun tidak serapat mana. Satu malam sebelum berangkat, puas saya merubah hati ini supaya memikirkan niat untuk mengikhlaskan diri dalam hal ini. Cuba bayangkan, anda bakal menghabiskan satu hari dengan orang yang anda tidak kenali dan tiba-tiba anda terpaksa bekerja keras seharian. Makluman, kerja-kerja Site Investigation dengan menggunakan tangan kasar adalah kerja berat. Walaupun mereka hanya meminta bantuan pemandu, namun mungkin mereka juga mengharapkan bantuan tenaga. Makluman tambahan, kumpulan tersebut yang terdiri daripada empat orang merupakan tiga perempuan dan seorang lelaki. Lelaki tersebut juga baru sangat saya kenali itupun disebabkan dia ingin meminjam van tersebut. Cuba Bayangkan! Kerja berat!

Namun disaat-saat akhir, saya memotivasikan diri, berfikir bahawa perjalanan ini adalah untuk menuntut ilmu. Lambat laun saya akan lakukannya sendirian juga akhirnya. Alhamdulillah, dengan pemikiran sebegitu, perjalanan ini tidaklah membebankan sangat. Pelbagai ilmu yang dapat diperoleh dengan sebanyaknya. Kerana ilmu praktikal ‘Site Investigation’ sememangnya sukar didapati ketika sesi pembelajaran di dalam kelas. Hanya ke site sahajalah yang dapat membantu memberikan gambaran sebenar kerja-kerja SI dilakukan. Diri sendiri dapat merasakan seberat manakah kerja-kerja SI ini. Tidak hairanlah di dalam video SI tempoh hari, pekerja-pekerja tersebut mempunyai lengan yang besar.

Saya seorang yang agak lambat untuk mesra dengan orang yang baru dikenali. Maka, setengah hari mengikuti mereka, saya menjauhkan diri dari kerja-kerja mereka. Bukannya apa, saya sudah berdiri berhampiran dengan mereka, namun sedikit pertolongan pun mereka tidak minta. Dalam fikiran, saya takut mungkin dengan pertolongan saya akan mencacatkan perjalanan pengambilan sampel mereka ini. Saya dengan ilmu teknikal yang kurang agak menjauhkan diri dari mereka kerana takut juga jika saya tersalah cara dan metode akan mengganggu kajian tanah mereka. Jadi begitulah ceritanya, saya menjauhkan diri dari mereka dan duduk mendengar lagu saja.



Secara umumnya, kawasan yang dipilih oleh mereka adalah kawasan ladang kelapa sawit yang terletak di Seksyen 30 Shah Alam (Jalan Kebun – 30 minit jika tahu jalan dan 1 jam jika tersesat seperti tempoh hari). Antara pengajaran; sediakan peralatan yang mencukupi. Peristiwa yang berlaku, satu jenis sampel tidak mempunyai bekas. Lantas mereka terpaksa membeli tin sadin kecil untuk dijadikan bekas sampling. Bertambah buruk pula, tiada pisau mahupun pembuka tin. Saya ditemani seorang ahli kumpulan pergi mencari kedai makan untuk mencari pembuka tin. Alhamdulillah, dalam meminta pertolongan itu amat mudah. Seronok rasanya ada manusia sebegini yang seronok melihat orang menuntut ilmu. Bukan setakat memberi pinjam pembuka tin saja, malah turut membelanja kami minum Milo Ais. Ikhlas katanya. Mereka juga turut memberi tin tambahan untuk mengambil sampel tanah.

Lagi malang, tiada cangkul ketika itu dan cangkul juga terpaksa dipinjami. Nampaknya baik sungguh penduduk di Jalan Kebun. Terima kasih untuk kalian. Tidak dapat saya gambarkan betapa baiknya penduduk di kampung sana jika hendak dibandingkan dengan orang yang tinggal di bandar.

Site 1: Dikelilingi pokok kelapa sawit. Tidak dapat gambaran jelas. Mereka menggunakan ‘Hand Auger’ untuk mengorek lubang. ‘Sampling Tube’ jenis saya tidak dapat pastikan. Namun memang kerja-kerja ini berat. Di kesempatan berehat di surau bersama rakan lelaki tersebut, dapatlah juga meluahkan serba sedikit kisah sebelum ini. Namanya Kucai, bercerita sebelum ini mereka sudah ke mari untuk mendapatkan ‘Disturbed Sample’ untuk ujian pertama. Ketika itu, dia sajalah yang membuatkan kerja. Nasib baik kerja yang mudah. Menggunakan cangkul dan simpan sampel tersebut. Sempat juga dia meminta maaf kerana terpaksa mengambil masa saya yang tak sepatutnya begitu. Namun kerana alat yang bersaiz besar mereka terpaksa juga meminta pertolongan.

Sukar juga melaksanakan kerja pada hari Jumaat. Mereka berhenti rehat di waktu tengah hari dan saya dan Kucai pergi mencari masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Ketika inilah kami banyak berborak dan terasa hubungan semakin rapat. Dari tidak kenal menjadi kawan.

Site 2: Berhampiran dengan rumah persendirian. Kami meminta kebenaran. Lagipun mereka sudah ke sana sewaktu mengambil ‘Disturbed Sample’ tempoh hari. Seperti biasa keempat-empat mereka mengambil sampel setiap satu. Di sini, ‘Ground Water Table’ agak tinggi. Inilah kali pertama saya melihat didepan mata. Hanya gali tidak sampai setengah meter, air sudah memenuhi lubang tersebut. Memandangkan hubungan sudah semakin rapat, saya turut serta tanpa meminta izin. Mereka hanya mendiamkan diri saja malah membuat kelakar juga dengan situasi saya untuk mencuba alat-alat mereka itu. “Engkau nak buat terus pun tak mengapa” kata Kucai selepas saya meminta untuk cuba menggunakan ‘Hand Auger’. Mereka pun nampak kepenatan sesudah bekerja keras waktu pagi sebentar tadi.
Alhamdulillah, kerja berjalan lancar sejak saya turut turun membantu mereka. Jika dibandingkan dengan sesi pagi tadi, sudahlah bermula pukul 9.00 pagi sampai pukul 12.00 tengah hari pun tidak nampak lagi kerja untuk diselesaikan. Apa yang penting? Kerjasama!

Site 3: Berhampiran dengan restoran. Sampel tanah disini adalah yang paling keras antara ketiga-tiga site yang ada. Syukur, dek kerana pengalaman yang ditimba di site 2, saya dengan seronok membantu mereka. Dari rasa agak keberatan, datang juga rasa keseronokan membantu sesama sendiri. Walaupun kerja yang berat, jika difikirkan dalam kepala bekerja untuk menuntut ilmu agak menggembirakan juga. Saya hanya melakukan kerja-kerja kecil dan ringan saja. Mereka sendiri setting up kesemua alat-alat yang ada. Eloklah begitu, jika saya sendiri yang setting up mungkin tersalah cara dan mencacatkan pula kajian mereka. Cuma kerja-kerja untuk mengeluarkan sampel itu semula yang agak sukar dan juga mengetuk sampling tube itu ke dalam tanah. Lagi sekali, kerja juga lancar disini. Walaupun di tanah keras, kerja tidak sampai satu jam untuk diselesaikan. Apa yang penting? Kerjasama!

Diimbau kembali, perjalanan yang bermula dari pukul 8.00 pagi kini sudah semakin hampir dipenghujungnya. Walaupun perjalanan pulang agak terganggu kerana kesesakan lalulintas namun ditempuh jua.

Buat akhirnya, bukan setakat ilmu didapati malahan dapat kawan juga. Semoga pengalaman ini dapat membantu diri ini ketika hendak membuat site investigation di masa depan. InsyaAllah.


FEAR IS THE PATH TO THE DARK SIDE. FEAR LEADS TO ANGER. ANGER LEADS TO HATE. HATE... LEADS TO SUFFERING.
- Master Yoda -

No comments: