Dengan kalimah Bismillahirrahmanirrahim saya mulakan post ke 100 saya yang menjadi satu tanda aras baru pada diri saya dalam arena membikin dan menulis blog. Saya mengakui tidak banyak perubahan yang berlaku namun sedikit demi sedikit saya sedang belajar mengenai kehidupan dan ranjau hidup di dalam dunia siber. Diharap untuk post selepas post ke-100 ini berjaya mengubah seri dan warna serba sedikit. Selamat berjumpa pada post ke-200 dengan izin Allah hendaknya.
Alhamdulillah, sememangnya azam saya hendak mencapai post ke-100 sebelum tahun 2010 mula melangkah masuk. Tanpa disangka berjaya juga post ini ditulis kerana anda sedang membacanya. Jadi bersempena sambutan tahun baru secara nalurinya perlbagai perkara yang ingin dituliskan, walaupun bukan untuk orang lain diharapnya mampu dijadikan catatan untuk diri.
Di awal permulaan 2009, sudah kelihatan tanda-tanda kekurangan diri. Keputusan pelajaran tidak memberansangkan dan pelbagai lagi masalah melanda. Namun inilah kehidupan manusia. Umpama roda kadang-kala kita diatas dan ada masanya juga kita diletakkan di bawah untuk merasa apa yang terjadi dibawah sana kerana sebelum ini saya belum mengerti. 2009 adalah titik paling rendah dalam sejarah saya cuba mempelajari erti kehidupan dan pelajaran ilmu duniawi. Namun segalanya perlu diambil iktibar dan perkara-perkara hitam akhirnya saya cuba mennoktahkan sepenuhnya sebelum 2010 pula membuka tirainya semula. Namun kita sebagai manusia tidak dapat meramal dengan tepat apa yang ternanti dan terhidang untuk kita pada masa hadapan. Ikhtiar kita hanya bersedia dan berharap untuk perkara terbaik.
Di ambang pertukaran tahun ini, saya cuba mengintai serba sedikit apa yang telah dirancangkan. Alhamdulillah, 2010 adalah tahun kemuncak dalam usaha diri ini untuk menggenggam segulung ijazah. Tahun akhir yang dinanti kini sudah pun tiba. Pejam celik sejak dari semester 1 diploma di Jengka, Pahang dan kini sudah berada di tahun akhir untuk Ijazah Sarjana Muda di Shah Alam. Sungguh pantas berlalu dan diri sudah menginjak dewasa walaupun perangai, tingkah laku, rasional diri dan keputusan belumlah betul-betul menunjukkan diri ini sudah matang. Mungkin suasana yang biasa-biasa dan selesa agak melambatkan kematangan diri. Tetapi ramai juga sudah matang dan sudah bersedia mengambil tanggungjawab menjadi manusia bermakna. Sengaja hendak dicoretkan disini sudah ramai rakan-rakan terutama rakan-rakan bekas sesekolah dulu terutamanya dari kalangan perempuan telah pun sedia menjadi suri rumah untuk suami masing-masing. Itulah hakikatnya kedewasaan pabila manusia sudah berani mengikat tanggungjawab untuk diri. Pada tahap sebaya saya ini sememangnya berat untuk memikul sebarang tanggungjawab namun segalanya bergantung pada diri sendiri dan keyakinan mereka juga.
Disebalik perkara hiburan yang melalaikan diri ini, perlu juga diri ini mengingatkan semula pada yang paling penting tidak kira ianya tahun 2010, 2020 mahupun 2100. Lagipun manusia ini adalah lemah tak terdaya kerana hanya Yang Esa saja tahu apa-apa yang telah dicatat untuk yang bakal berlaku di masa hadapan. Diri kita hanya mampu bertawakkal, bersedia dan redha pada segalanya. Buat akhirnya, Salam Tahun Baru Masehi dan juga Salam Tahun Baru Hijrah walaupun sudah memasuki 15 Muharam 1431H. Salam.
FEAR IS THE PATH TO THE DARK SIDE. FEAR LEADS TO ANGER. ANGER LEADS TO HATE. HATE... LEADS TO SUFFERING.
- Master Yoda -
- Master Yoda -
1 comment:
world cup aku sokong england...bleh x??..hahaha...~
Post a Comment