Sunday, February 7, 2010

Oscar – Kucing Kematian










Pernah dengarkah mengenai kisah seekor kucing ini? Jika belum, mari sini saya ceritakan. Si Oscar ini hanyalah seperti kucing yang lain, lengkap segala ciri-ciri yang menjadikannya sebagai seekor kucing. Macam biasa, seekor kucing yang dijaga dengan baik dan mempunyai tempat tinggal sudah tentu comel. Tanpa kecomelan, maka agak susah seekor kucing itu untuk diambil dan dibela oleh seseorang manusia itu.

Tapi kali ini, kecomelan bukanlah menjadikan fokus untuk kucing ini menjadi amat popular. Ataupun bukanlah disebabkan kucing ini terlalu besar sehinggakan mampu mempuat rekod sebagai kucing terberat didunia. Tapi beginilah kisah sebenar mengenai Oscar, si kucing yang tahu kematian seseorang manusia itu.

Di Rhode Island, Amerika Syarikat di sebuah hospital, mereka telah mengambil seekor anak kucing untuk dijadikan kucing terapi untuk pesakit-pesakit mereka. Mereka telah menamakan kucing ini sebagai Oscar. Dr David Dosa, telah menceritakan kisah kucing ini didalam buku beliau "Making Rounds With Oscar: The Extraordinary Gift of an Ordinary Cat" bagi memberi sebuah perspektif yang lebih positif terhadap kucing ini. Sebelum buku ini diterbitkan sudah ada beberapa artikel dari Dr David Dosa menceritakan mengenai Oscar, namun mungkin ramai orang terus berpendapat kehadiran Oscar sebagai satu celaka untuk mereka. Lantas sebab itulah beliau menulis buku ini untuk menceritakan perihal Oscar dengan lebih baik lagi. (Maaf, saya tidak membaca lagi buku beliau jadi tidak dapat untuk mengulas dengan lebih lanjut)

Al-maklumlah, hospital adalah sebuah tempat untuk manusia mencari tempat untuk berubat bagi memulihkan kesihatan mereka. Yang beruntung akan sihat selepas berubat namun bagi yang malang, mereka tidak lagi dapat diubati kerana takdir sudah menentukan hayat mereka pada tahap tertentu sahaja. Lantas, akan hadirlah Oscar ke satu-satu ruang pesakit itu untuk menemani mereka dalam beberapa jam terakhir hayat mereka.

Tabiat Oscar ini sememangnya unik. Pada kebiasaannya, Oscar bukanlah seekor kucing yang mudah mesra dengan orang ramai. Kata Dr Dosa, Oscar sememangnya sukar untuk didekati walaupun kita masih boleh ‘memancing’ Oscar seperti juga haiwan peliharaan lain namun pada kebiasaannya Oscar akan mengelak dari orang ramai. Tapi, pada masa tertentu Oscar dapat mengesan akan waktu ajal seseorang itu. Oscar akan naik dan baring bersama pesakit untuk menemani pesakit itu ketika pesakit itu sedang menanti waktu ajal mereka.

Staf-staf di hospital itu makin lama terperasan dengan tabiat Oscar tersebut. Suatu hari itu, doktor sudah mengesahkan seorang pesakit ini sudah tidak dapat diselamatkan lagi. Maka mereka mencuba meletakkan Oscar di katil pesakit tersebut, namun Oscar meloncat pergi tidak mahu untuk baring bersama pesakit tersebut. Kemudian Oscar pergi berbaring diatas pesakit yang lain dan ternyata dua jam kemudian pesakit yang kedua itu meninggal dunia. Bagi pesakit yang pertama pula, keluarganya telah mengambil untuk dibawa kerumah dan cuma meninggal dunia dua hari kemudian.

Mengikut situasi tertentu, ada ahli keluarga pesakit tertentu membenarkan Oscar baring bersama pesakit tersebut. Ada juga kes yang lain dimana Oscar diletakkan di luar. Jika berlaku sedemikian, Oscar akan mula tidak senang, ke hulu dan ke hilir seperti kehilangan arah dan juga mencakar-cakar pintu bilik pesakit tersebut, mencuba untuk masuk juga ke bilik pesakit tersebut. Jika Oscar dibiarkan bersama pesakit itu, Oscar akan kekal di situ sehinggalah pesakit itu meninggal dunia barulah Oscar beredar pergi. Dalam pemerhatian selama 5 tahun, Oscar telah meramalkan 50 kematian dengan tepat.

Atas perkara aneh ini, pihak hospital itu juga telah mengamalkan satu praktis yang agak pelik juga di mana jika mereka terlihat Oscar berbaring dengan seseorang pesakit itu, staf akan mula memanggil keluarga pesakit itu untuk memberitahu bahawa pesakit itu sedang menghampiri ajal. Itulah keajaiban Oscar, si kucing yang tahu akan ajal manusia. Setakat yang saya terbaca, kucing akan mengusap muka mereka jika hari hendak hujan. Itu saja yang saya tahu akan kebolehan kucing ataupun petanda dari kucing.

Walaupun haiwan tidak mempunyai akal seperti manusia, namun Allah telah mengkurniakan ilham kepada haiwan. Ini dipanggil ‘Ilham Al-Gharizi’ di mana sesuatu kebolehan diberikan kepada haiwan. Sebagai contoh, ilham membina empangan diberi kepada memerang. Ilham membina sarang lebah dalam bentuk heksagon yang ternyata memberi manfaat yang amat besar diberikan kepada kawanan lebah. Semut juga mendapat ilham untuk membina sarang yang amat sistematik dan kehidupan satu kawanan semut itu sememangnya sistematik. Banyak lagi contoh dan semuanya adalah petanda untuk manusia supaya berfikir dan berjaga-jaga seperti kemunculan ikan-ikan di pantai dengan banyak dan tiba-tiba sebagai petanda amaran tsunami bakal menimpa.




Berbalik pada kisah Oscar, sebaik saja saya selesai membaca banyak artikel mengenai Oscar ini terus saya terdetik, adakah kematian itu disebabkan Oscar? Sudah tentu ramai yang mengelak dari Oscar menghampiri mereka. Namun perkara sebaliknya berlaku, ramai ahli keluarga terdekat membiarkan saja Oscar berbaring bersama pesakit. Bagi mereka, Oscar adalah kelembutan dan keringanan yang diberikan untuk menemani saat mati pesakit itu. Alangkah uniknya Oscar. Subhanallah!

Anda boleh mencari maklumat mengenai Oscar dengan hanya mencari di google sahaja. Tidak perlu bersusah payah. Anda juga boleh cuba mencari di Youtube. Ada beberapa video disitu yang berkaitan dengan Oscar.



THE STRUGGLE TO SAVE THE GLOBAL ENVIRONMENT IS IN ONE WAY MUCH MORE DIFFICULT THAN THE STRUGGLE TO VANQUISH HITLER, FOR THIS TIME THE WAR IS WITH OURSELVES. WE ARE THE ENEMY, JUST AS WE HAVE ONLY OURSELVES AS ALLIES -Al Gore-