Sunday, February 7, 2010

Propaganda Persengketaan






Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Sebenarnya saya cuba mencari-cari idea untuk menulis namun secara ringkasnya, sejak sibuk membaca bahan-bahan untuk projek tahun akhir kebelakangan ini maka di dalam kepala ini hanyalah mengenai tanah dan beberapa perkara lain. Jadi ada juga untuk mengulas beberapa isu yang berlaku di tanah air namun risau jika tersalah taip saya akan diheret ke muka pengadilan seperti isu status di Facebook yang mengheret seorang mahasiswa atas tuduhan cuba menganggu keharmonian negara. Tidak lupa juga mengenai isu kemangkatan Sultan Johor baru-baru ini. Wujud juga individu yang cuba mencetuskan isu dengan Raja-Raja Melayu. Akhirnya, Aduka Taruna telah disoal-siasat mengenai isu tersebut.

Maafkan saya jika saya bakal terlanjur bicara di dalam entri ini. Namun InsyaAllah apa yang bakal tertulis selepas ini tidak berkaitan dengan isu-isu tersebut malahan cuma sebuah fikiran yang muncul untuk menginsafi diri dan memajukan diri jua. Tertarik dengan status Basyir di Facebook pada malam 25 Januari lepas. Status beliau berbunyi begini “terpikir mcm mane kalo malaysia jd mcm palestin??~” yang kemungkinan besar dicatat lebih kurang pada pukul 10 malam.

Apakah maksud beliau jika Malaysia menjadi seperti Palestin? Saya yakin beliau bermaksud untuk menyatakan jika keadaan di Malaysia menjadi huru-hara seperti di Palestin. Tanah dirampas oleh orang lain, agama Islam tidak dapat ditegakkan, dihalang sumber barang asas oleh jiran sendiri yang sebangsa dan seagama dan pelbagai lagi. Tambahan pula dibina tembok tinggi menjulang ke atas dan tertusuk sedalam mungkin untuk menghalang penembusan pembinaan terowong untuk menyampaikan saluran bekalan asas.

Secara geografi, sememangnya pelik juga jika hendak membina tembok tapi janganlah memilih untuk berpandangan sebegitu. Isu utamanya adalah apabila umat Islam ditindas sebegitu rupa. Ianya agak perit jika dilihat dengan mata hati sedalam-dalamnya. Jadi sebab itulah saudara Basyir cuba mengajak untuk kita cuba berkhayal atau berimaginasi kalau-kalau situasi itu berlaku ke atas diri kita, Melayu Muslim.Saya tahu ramai yang takut untuk cuba membayangkan suasana tersebut apatah lagi untuk memikirkan perkara tersebut.

Ramai dari kalangan kita terasa sedih apabila Tsunami 2004 melanda rantau Asia Tenggara hingga mencapai ke benua Afrika sekalipun. Apatah lagi dicatat kematian melebihi 200 000 orang di Acheh, Indonesia sahaja. Ianya amat terasa kerana keadaan geografi yang amat hampir tambahan pula Malaysia turut merasa sama walaupun jumlah kematian tidak melebihi 100 orang. Malaysia perlu bersyukur kerana kewujudan Pulau Sumatera tersebut. Jika tidak kerana Sumatera, habislah Klang, Pulau Pinang, Pulau Pangkor, Tioman, Langkawi malahan Port Dickson juga teruk dilanda secara menyeluruh di persisiran pantai.

Jika jarak yang diambil kira, janganlah dipinggirkan saudara kita walaupun jauh di sana. Suatu ketika dahulu, saya mempunyai rakan yang mempunyai minat yang luar biasa dalam hal-hal ketenteraan. Beliau siap memberi amaran kepada saya “keamanan di negara kita sebenarnya ibarat telur di hujung tanduk”. Lantas saya bertanya kembali “Kenapa pula?”. “Negara kita diambang peperangan dengan negara jiran terutamanya yang tidak mengambil Islam sebagai agama utama mereka. Tambahan pula keadaan dalam negara kita sendiri yang agak pincang agak memungkinkan perkara sebegitu berlaku” balas beliau. Namun ketika itu saya ambil endah tak endah saja kata-kata beliau. Namun jauh disudut hati meminta dijauhkan sangat-sangat perkara itu dari berlaku. Na’uzubillahi min zalik.

Jika diambil kata-kata status saudara Basyir yang mengajak cuba membayangkan suasananya, cuba anda bayangkan anda tidak bebas lagi hendak ke surau mahupun ke masjid. Tidak lagi dapat melaungkan azan dengan pembesar suara. Lebih teruk lagi, umat Islam ditekan dan ditindas. Tidak dapat bekalan asas dan dilayan dengan tidak adil. Dihalang untuk mengembangkan ekonomi. Dihalang dari mendapatkan ilmu. Dipulaukan oleh saudara seagama dan tidak diendahkan oleh rakyat sedunia.

Justeru, kita seboleh-bolehnya ketepikan segala perbezaan yang merepek dan merapu untuk kesejahteraan Islam seluruhnya. Namun, perkara semerepek-merepek itulah yang lebih dipandang berat oleh orang kebanyakan berbanding untuk mengangkat martabat Islam itu sendiri. Jadi bersama-samalah kita cuba menjauhkan perbezaan yang merepek untuk perkara yang lebih utama, Islam!



FEAR IS THE PATH TO THE DARK SIDE. FEAR LEADS TO ANGER. ANGER LEADS TO HATE. HATE... LEADS TO SUFFERING.
- Master Yoda -

No comments: