Teringat masa keputusan PMR dulu, cerita Senario turut melawakkan bagaimana orang tua hendak menyebut ‘result’ dengan betul. “Apa, Rizal? Rizalt? Risal?” itulah dialog Azli Senario ketika itu.Walaubagaimanapun, itulah yang hendak dikisahkan disini. Result, baru saja diumumkan. Betapa liat hendak menundukkan website UiTM untuk deterobos masuk. Keesokan harinya barulah dapat ditembusi.
Bukan hendak mengisahkan bagaimana susahnya hendak menyemak keputusan peperiksaaan, tapi keputusan peperiksaan itu sendiri. Saya tahu, sudah beberapa post yang lalu menceritakan mengenai ini. Namun kisah saya senantiasa di dalam kedukaan. Sejak menulis, tidak selalu result yang ada menceriakan. Kali ini juga.
Tapi sedikit lain untuk kali ini. Alhamdulillah, impian hendak mendapat 4 rata sememangnya sukar. Saya tahu ianya seolah-olah satu angan-angan saja. Tidak lebih dari itu. Walaupun saya sentiasa berdoa ke arah itu, namun rezekinya mungkin tidak dibenarkan lagi. Alhamdulillah, saya mengaku saya mendapat anugerah dekan kali ini, namun nilainya tidaklah sebesar mana. Ramai lagi yang turut serta mendapat penghormatan ini. Apatah lagi bagi mereka yang sudah selalu cemerlang. Kali ini lebih lagi. Saya percaya, ramai lagi yang mendapat 4 rata dan apalah sangat dengan tiga.tujuhlima. Bukan hendak menjadi manusia yang tidak bersyukur. Sesungguhnya kesyukuran itu amat besar. Tidak disangka mendapat sebegini. Tapi melihatkan seorang rakan yang tidak ceria walaupun mendapat AD, menyebabkan saya tertanya.
Tertanya, kenapa tak berpuas hati. Secara lojik, antara dua. Samada beliau sudah bertungkus lumus namun rezeki agak kurang, mungkin menyebabkan kedukaan masih ada walaupun agak cemerlang. Satu lagi, mungkin usahanya adalah atas penipuan, jadi kepuasan itu tidak dapat hadir dalam jiwanya. Bagi saya, saya terasa puas, tapi tak bermakna mahu berhenti. Puas kenapa? Kerana saya tahu nilai keputusan itu adalah atas hasil usaha diri saya sendiri dan kemudian diizinkan oleh Allah. Alhamdulillah, usaha itu Tuhan mahu membenarkan saya mendapat dengan setimpal sebagai hasil. Jadi saya amat gembira melihatkan keringat saya terdahulu menghasilkan gpa yang sebegini.
Teringatkan kayuhan basikal di pagi hari, setengah jam lebih awal dari yang lain. Saya terpaksa keluar awal kerana takutkan kesibukan lalulintas. Tambahan pula, saya hanya mengayuh di sisi jalan yang sempit, takut-takut menyukarkan laluan orang lain. Teringat juga penantian yang lama sebelum memasuki kelas kerana sudah datang awal. Pulang pula yang paling lewat. Tapi sekarang itu menjadi manis. Untuk orang lain, saya tak tahu. Tapi sepanjang semester lepas, saya tahu apa yang mereka lakukan.
Menipu, itu mungkin termasuk dalam kamus ‘usaha diri’ mereka. Saya tak mahu tanya dan cuba tanya pun saya tidak mahu. Apa perasaan mereka ketika ini. Kata kakak, mereka sudah tentu merasa puas dan bangga dengan nombor yang tertera pada result mereka. Tapi kakak dengan tenang mententeramkan jiwa saya. Menyatakan tindakan saya benar, tidak perlu menipu. Apalah nilai gpa tinggi, tapi atas dasar penipuan.
Saya pun tidaklah sejujur mana. Meniru sedikit dalam assignment, perkara biasa. Tapi sepatutnya perkara sekecil itupun tidak boleh dianggap biasa. Tapi itulah ‘limit’ saya. Saya tak mahu lakukan lebih teruk dari itu. Mahu meniru dan membawa toyol didalam ‘test’? Saya masih ‘taboo’ untuk itu. Pendapat saya, bagi mereka itu adalah salah satu dalam kategori ‘usaha’. Tapi hakikatnya itu adalah salah. Jadi, lantaklah dengan kehebatan mereka. Tidak tulen. Pada saya, nilai gpa saya itu seolah-olah bersinar semacam emas. Saya pun tak ngerti kenapa begitu. Walaupun ‘society’ mendapat B-, ianya tetap semacam bersinar. Itulah nilaian sebenar keupayaan saya terhadap subjek itu. Tulen, itulah yang lebih berharga.
Sebenarnya, teringin bercerita mengenai Bahasa Jepun yang saya pelajari sebagai bahasa ketiga di sini. Alhamdulillah, kali ini Mariam-sensei memberi saya A+. Saya yakin, istilah sebenar bukanlah ‘beri’, tetapi itulah yang saya ‘deserved’. Dengan integriti Mariam-sensei selama tiga semester, istilah ‘beri’ atau ‘bagi’ bukanlah mainan untuk beliau. Seseorang pelajar itu akan mendapat markah atas apa yang mereka berhak. Dan berhak pada saya untuk kali ini, jatuh pada A+. Syukur.
Bukannya apa, ini menunjukkan hattrick saya dalam perjuangan Bahasa Jepun ini. Selama tiga semester saya berjuang berseorangan di rumah sewa untuk menuruti minat diri tak disangka hasilnya adalah amat berbaloi. Cuma berteman di kelas dengan rakan seperjuangan cuma bezanya, keempat-empat mereka adalah perempuan dan mereka dapat mengulangkaji bersama dan berbincang bersama. Saya amat jarang mendapat peluang sebegitu. Cuma semester terakhir yang lepas, adalah juga rakan yang sudi bertandang ke rumah untuk belajar bersama walaupun sekali saja.
Terkenang kembali, pertama kali belajar Jepun, terpaksa berdialog dengan dinding sahaja. Tiada peneman yang dapat dibuat berbicara bersama. Terus-terusan dengan latihan dan ulangkaji berseorangan. Jika ada masalah, terpaksa bertanya melalui SMS ataupun panggilan. Paling tidak, menunggu hingga hari esok dan bertanya pada rakan sekelas perempuan. Namun, saya sebenarnya nak menyatakan rasa kesyukuran tak terhingga kerana dianugerahkan rakan seperjuangan sebegini. Rakan yang tak menyusahkan malah membantu pada tahap yang terbaik menyebabkan saya terharu. Masing-masing memberikan usaha yang terbaik untuk menjayakan kerja berkumpulan terutamanya dalam projek video pelajar.
Kenapa menjadi gembira sehingga begini? Bukannya apa, saya baru sahaja mendapat tahu bahawa bukanlah sesuatu yang mudah untuk mendapat A dari Mariam-sensei. Jadi penghargaan ini menjadi amat bernilai pada saya. Dengan ‘kebersihan’ markah yang dijaga oleh Mariam-sensei, menunjukkan ketulenan keputusan peperiksaan Jepun bagi seseorang itu. Saya tak dapat menyangkal, tiada satu subjek lain pun yang dapat menunjukkan markah yang bersih selain Bahasa Jepun dengan Mariam-sensei. Itulah ketulenan sejati yang saya terlihatkan kali ini didalam Degree. Alhamdulillah. Cerita tidak tamat disini. Kami masih ada Latihan Industri dan satu lagi semester terakhir yang dijangka menjadi amat sibuk. Doakan kami.
“PATRIOTISM IS SUPPORTING YOUR COUNTRY ALL THE TIME, AND YOUR GOVERNMENT WHEN IT DESERVES IT” – Mark Twain -
No comments:
Post a Comment