Sunday, October 3, 2010

Rumah Terbuka

Persepsi masyarakat disini menganggap hari raya Aidilfitri disambut selama sebulan. Sedangkan sepatutnya hanyalah pada hari raya pertama untuk beraya. Namun tidak mengapa rasanya kerana itulah budaya kita. Kita meraikannya secara umum dengan mengadakan jemputan kepada sanak-saudara dan juga rakan taulan untuk jamuan makan-makan.

Pelbagai organisasi juga turut terpanggil untuk membuat rumah terbuka. Temanya masih sama dengan makan-makan. Seperti universiti, masjid-masjid dan surau-surau, syarikat, dan pelbagai lagi organisasi yang berbesar hati untuk menjamu para tetamu. Jika dibandingkan dengan rumah terbuka orang kebiasaan dengan organisasi, sudah tentu organisasi tersebut menganjurkan rumah terbuka yang besar siap berkhemah.

Itulah yang menakjubkan saya. Tahun-tahun kebelakangan ini tidak lagi begitu. Pada kebiasaan saya, menghadiri rumah terbuka yang dianjurkan hanyalah biasa-biasa saja. Jika ada yang besar pun, hanya memasang satu set khemah untuk memberi sedikit ruang lebih untuk tetamu. Makanan pula cukup untuk menjamu para tetamu sekadarnya.

Tahun ini agak berlainan sedikit untuk saya. Masih lagi menghadiri rumah terbuka saudara-mara. Yang terlihat adalah kebiasaannya; ruang didalam rumah, makanan istimewa tersendiri dan dihadiri saudara terdekat saja. Minggu lepas saya berpeluang untuk menghadiri sebuah rumah terbuka di Jalan Paip, Meru. Rumah terbuka tersebut sememangnya besar. Beberapa buah khemah didirikan. Saya ingat itu adalah majlis perkahwinan. Sangkaan saya ternyata meleset. Walaupun makanan yang dihidangkan didalam mangkuk dan punggan kecil, tetamu boleh saja menambah sebanyak mana mereka mahukan. Variasi makanan juga pelbagai dari sup tulang, nasi lemak ayam berempah, meehun sup, pelbagai kuih-muih dan macam-macam lagi. Cuma hidangannya adalah di dalam skala kecil. Namun begitu, rumah terbuka ini dianjurkan oleh sebuah keluarga besar iaitu adik-beradik, anak-anak dan cucu kampung tersebut. Tidak hairanlah mereka dapat bekerjasama dan berganding bahu dalam menjayakan rumah terbuka tersebut.

Keesokannya, saya melalui sebuah jalan di taman perumahan di seksyen 7, Shah Alam ini. Terlihat khemah didirikan dan ternyata rumah terbuka diadakan disitu. Memang mengejutkan rumah terbuka yang diadakan ini amat besar. Untuk sabuah rumah satu keluarga menganjurkannya amatlah mengujakan. Tidak sangka rumah terbuka dapat dianjurkan sebesar ini. Pasukan RELA disediakan untuk mengawal lalulintas.

Hari ini pula, rakan mengajak untuk menghadiri rumah terbuka bapa saudaranya di Bukit Jelutong. Lebih mengujakan kerana beberapa khemah didirikan untuk menampung tetamu yang hadir. Kami berlapan mengambil terus sate-sate sehingga licin dulang tersebut. Tidak sampai seminit kemudian, hadir pelayan katering mengisi semula dulang sate tersebut hingga penuh. Bukan sahaja sate, malahan daging kambing salai turut disediakan. Antara makanan lain adalah cendol, ABC, mee sup, laksa, nasi minyak, telur pendang dan kuih-muih. Layanan mereka sungguh memuaskan. Tidak pernah saya rasa cukup selesa dalam menghadiri sesebuah majlis itu. Memang memuaskan hati para tetamu yang hadir.

Seusai menjamah makanan percuma tersebut, terdetik sebuah kerisauan didalam hati. Rakan turut bertanya apa yang saya risaukan sangat. Saya pun tidak pasti. Dalam fikiran saya, pada kebiasaannya rumah terbuka sebegini adalah yang dianjurkan oleh Perdana Menteri, kerajaan dan pelbagai organisasi lain. TIdak saya menyangka sekarang sudah menjadi satu fenomena untuk rakyat (yang mempunyai kemampuan dan rezeki berlebihan untuk dikongsi bersama) turut mampu untuk menganjurkan rumah terbuka sebegini besar. Mungkin saya hanyalah insan kerdil, terasa majlis-majlis tersebut agak besar untuk dianjurkan. Sedangkan pada mereka ini hanyalah sekelumit kecil perkongsian mereka untuk saudara-mara dan rakan-taulan yang lain.

Tidak mengapalah. Apalah sangat untuk mengeluarkan duit memberi orang ramai menjamah makanan. Itu adalah satu pekerti yang mulia. Setiap kali tetamu mengucapkan ‘Alhamdulillah (Terima Kasih Allah)’ dan kemudian ucapan ‘Terima Kasih’ kepada tuan rumah, ianya diibaratkan sebuah doa untuk tuan rumah tersebut. Tidak sia-sia menjamu orang ramai. Dan bagi kami sebagai pelajar, apa salahnya. Dapat makan percuma tiap kali hujung minggu tanpa mengeluarkan sesen pun untuk makanan. Kos yang ada hanyalah untuk berkenderaan pergi kerumah yang telah menjemput kami. Jadi kami dengan penuh sopan dan santun mengucapkan ‘Alhamdulillah’ dan ‘Terima Kasih’ kepada tuan-tuan rumah yang telah menghidangkan kami makanan. Terima kasih sekali lagi.

"IF OUR COUNTRY WORTH DYING FOR IN TIME OF WAR LET US RESOLVE THAT IT IS TRULY WORTH LIVING FOR IN TIME OF PEACE" – Hamilton Fish –

No comments: