Monday, November 1, 2010

3 Idiots: Kejuruteraan Dan Falsafah



Sukar untuk mencari kisah-kisah berkenaan dengan kejuruteraan. Jarang sekali dapat ketemu kisah-kisah sebegitu. Dalam dunia sebenar, memang sudah bergelumang dengan kejuruteraan. Tapi jarang sekali kejuruteraan cuba dibawa keluar dari kepompong rumus, teori, piawai, dan prinsip. Terlalu tertumpu pada pemarkahan sedangkan pemarkahan hanyalah penilaian terhadap pencapaian diri yang telah menyerap ilmu yang perlu diolah.

Dan inilah dia 3 Idiots, filem Hindustan dibintangi Amir Khan yang mengisahkan tentang tiga orang sahabat yang menimba ilmu kejuruteraan mekanikal(?) mungkin, untuk menaikkan taraf hidup keluarga masing-masing kecuali Rancho watak utama. Sifat Rancho yang mencabar undang-undang dan kebiasaan dunia membawa kekaguman pada Farhan. Dengan mantra yang dibawanya ‘Aal Iz Well’ sebagai kata-kata utama cerita ini, sememangnya menarik sehinggakan diri pun turut mengulangi ayat yang sama ketika dilanda kerunsingan (sepatutnya beristighfar).

Lebih tepat lagi sebenarnya, situasi yang dibawakan adalah bagaimana ingin belajar dan mengajar ilmu kejuruteraan. Ilmu sains gunaan yang membawa bentuk asal sesebuah pengetahuan  diolah dan digubah sesuai untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan itu. Sebagai contoh, hukum Newton ketiga telah digunakan sepenuhnya dalam analisis struktur. Saya pun tidak pasti, adakah pelajar perasan keadaan itu? “To every action there is always an equal and opposite reaction”. Lebih kurang begitu hukum Newton ketiga. Bak akta Rancho, kita semua tenggelam dalam perlumbaan. Perlumbaan yang tiada ertinya. Perlumbaan yang tak membawa kepada sesuatu yang elok.

Cuma terkadang itu dapat juga peluang berguru dengan pensyarah yang cuba membawa sedikit pengertian diluar konteks buku, tulisan dan juga skema jawapan. Lebih menarik lagi jika dikaitkan ilmu kejuruteraan ini dengan Islam. Sememangnya segala ilmu datang dari Allah. Dalam filem ini, tidak banyak ilmu kejuruteraan yang diketengahkan. Hanya falsafah yang sebenarnya wujud didalam dunia kejuruteraan itu cuba ditimbulkan dan inilah yang sebenarnya mengujakan diri. Pengarah kampus mereka sendiri yang menentang falsafah, memarahi Rancho bahawa ini bukanlah tempat untuk falsafah, sastera dan juga seni. Tapi tempat kejuruteraan semata-mata. Tapi Rancho masih lagi dengan pendiriannya, meneruskan cara pemahaman dirinya sendiri terhadap dunia ilmu kejuruteraan. Dan minatnya adalah menghasilkan sesuatu yang baru. Tidak lekang dari mencuba-cuba dan terus bereksperimen dengan apa yang ada disekelilingnya.

Rakan Rancho, Raju dan Farhan pula mempunyai dilema sendiri. Pada asalnya mereka takut kehidupan mereka dan pelajaran mereka terjejas kerana bersahabat dengan Rancho. Baiklah, mulakan dengan Farhan. Farhan telah disara dengan baik oleh keluarganya sebaik mungkin. Cita-cita ayahnya untuk menjadikan Farhan seorang jurutera telah dituruti dengan patuh. Namun jauh didalam hati sebenarnya Farhan meminati fotografi haiwan liar. Dilupakan hasratnya itu demi harapan ayahnya. Rancho menasihatikannya, teruskan perkara yang diminatinya itu. Kerjalah dalam bidang yang diminatinya. Kerana bekerja untuk perkara yang diminati akan mendorong pada keseronokan berbanding dengan sesuatu yang tidak diminati. Takut-takut pula akan mendorong kepada tekanan.

Raju pula datang dari keluarga yang susah. Raju amat takut jika keputusan yang tidak cemerlang akan menghalangnya dari mendapat pekerjaan sebagai jurutera. Bersahabat dengan Rancho yang selalu membawa malang, menambahkan lagi kerisauannya. Namun pelbagai insiden yang menyedarkan Raju bahawa persahabatan mereka ini adalah amat berharga. Masalah yang ada hanyalah ketakutan dalam diri Raju itu sendiri yang takut pada masa akan datang tapi dalam masa yang sama mengganggu fokusnya untuk hari ini dan saat ini. Jadi tempuhlah waktu ini (sekarang) dengan penuh semangat dan keazaman.

Sedang ramai orang belajar kejuruteraan untuk sekeping sijil (Ijazah), kisah sebenar Rancho membuka mata Farhan (dan sepatutnya untuk kita semua juga sebagai pelajar) bahawa ilmu itu yang sebenarnya penting. Tapi dalam dunia realiti sebenar, jauh manakah dapat dipegang kata-kata itu? Namun Rancho telah membuktikan bahawa dengan ilmu yang difahami dengan betul, tidak mustahil untuk berjaya dikemudian hari.

Rancho telah mencabar dunia dengan diri beliau yang cukup istimewa. Beliau adalah seorang yang berfikiran diluar kotak dan berani dalam segala aspek. Cara beliau berfikir dan bertindak sememangnya istimewa. Diri ini sungguh kagum dengan Rancho walaupun wataknya adalah rekaan. Banyak lagi isu yang diri ini tertarik untuk mengolah melalui kisah 3 Idiots ini. Antara lain mengenai tekanan belajar, persahabatan, semangat dan juga cara menempuh cabaran kehidupan. Tapi setakat ini cukuplah secara umum diri ini menulis mengenai 3 Idiots. Kisah ini sememangnya sudah lama ditayangkan, sama tahun dengan My Name Is Khan dan dengan 3 Idiots mengalahkan MNIK dalam pelbagai anugerah, telah mengujakan hati untuk cepat-cepat menontonnya. Jadi, pada siapa yang belum menontonnya lagi, silalah menontonnya. GREAT!!!


"IF OUR COUNTRY WORTH DYING FOR IN TIME OF WAR LET US RESOLVE THAT IT IS TRULY WORTH LIVING FOR IN TIME OF PEACE" – Hamilton Fish –

2 comments:

wan mohd basyir said...

"all iz well" memujuk hati supaya tenang menghadapi sebarang kesusahan dan juga tekanan...mungkinkah benar??beristighfar lebih memberi kesan namun dari sudut psykologi pasti ada kaitannya antara ucapan dan juga tekanan...sekadar menumis sedikit sambal di sini..hehehe

Aderi Aryasu said...

Bila ungkapan datang dari Islam sendiri gagal memujuk hati, apakah hati sudah menjadi gelap? hanya individu tersebut yang perlu merungkai dan mendalami ke dalam hati sendiri. Sepatutnya dengan keagungan Ilahi yang dapat memandu insan yang kerisauan itu.
Tidak mengapa Basyir, sungguhpun engkau menumis disini tetap menyedapkan juga tidak kira samada di blog mahupun di dapur.