Friday, January 1, 2010

Post Ke-100 & Tahun Baru ٢٠١٠ A.D


Dengan kalimah Bismillahirrahmanirrahim saya mulakan post ke 100 saya yang menjadi satu tanda aras baru pada diri saya dalam arena membikin dan menulis blog. Saya mengakui tidak banyak perubahan yang berlaku namun sedikit demi sedikit saya sedang belajar mengenai kehidupan dan ranjau hidup di dalam dunia siber. Diharap untuk post selepas post ke-100 ini berjaya mengubah seri dan warna serba sedikit. Selamat berjumpa pada post ke-200 dengan izin Allah hendaknya.

Alhamdulillah, sememangnya azam saya hendak mencapai post ke-100 sebelum tahun 2010 mula melangkah masuk. Tanpa disangka berjaya juga post ini ditulis kerana anda sedang membacanya. Jadi bersempena sambutan tahun baru secara nalurinya perlbagai perkara yang ingin dituliskan, walaupun bukan untuk orang lain diharapnya mampu dijadikan catatan untuk diri.

Ketika artikel ini ditulis, beberapa jam lagi 2009 akan melabuhkan tirainya. Secara am dan tidak masuk akalnya, saya sudah cuba mengagak nasib diri yang bakal menjelang untuk tahun 2009 ini sejak di pengakhiran 2008. Secara jujurnya 2008 adalah tahun yang paling manis bagi saya. Pelbagai peristiwa yang mampu membuatkan wajah ini mengukirkan senyuman. Antaranya graduasi saya untuk diploma dengan dianugerahkan Anugerah Naib Canselor. Pada tahun 2008 juga Manchester United memenangi Liga Juara-Juara Eropah dan juga Liga Perdana Inggeris. Pembelian kesayangan saya XBOX360 yang merealisasikan diri ini untuk bermain permainan-permainan video generasi ketujuh akhirnya berjaya dikecap. Segala-galanya nampak hebat dan menarik namun tanda-tanda kenikmatan sudah kelihatan malap pada hujung tahun 2008.

Di awal permulaan 2009, sudah kelihatan tanda-tanda kekurangan diri. Keputusan pelajaran tidak memberansangkan dan pelbagai lagi masalah melanda. Namun inilah kehidupan manusia. Umpama roda kadang-kala kita diatas dan ada masanya juga kita diletakkan di bawah untuk merasa apa yang terjadi dibawah sana kerana sebelum ini saya belum mengerti. 2009 adalah titik paling rendah dalam sejarah saya cuba mempelajari erti kehidupan dan pelajaran ilmu duniawi. Namun segalanya perlu diambil iktibar dan perkara-perkara hitam akhirnya saya cuba mennoktahkan sepenuhnya sebelum 2010 pula membuka tirainya semula. Namun kita sebagai manusia tidak dapat meramal dengan tepat apa yang ternanti dan terhidang untuk kita pada masa hadapan. Ikhtiar kita hanya bersedia dan berharap untuk perkara terbaik.

Di ambang pertukaran tahun ini, saya cuba mengintai serba sedikit apa yang telah dirancangkan. Alhamdulillah, 2010 adalah tahun kemuncak dalam usaha diri ini untuk menggenggam segulung ijazah. Tahun akhir yang dinanti kini sudah pun tiba. Pejam celik sejak dari semester 1 diploma di Jengka, Pahang dan kini sudah berada di tahun akhir untuk Ijazah Sarjana Muda di Shah Alam. Sungguh pantas berlalu dan diri sudah menginjak dewasa walaupun perangai, tingkah laku, rasional diri dan keputusan belumlah betul-betul menunjukkan diri ini sudah matang. Mungkin suasana yang biasa-biasa dan selesa agak melambatkan kematangan diri. Tetapi ramai juga sudah matang dan sudah bersedia mengambil tanggungjawab menjadi manusia bermakna. Sengaja hendak dicoretkan disini sudah ramai rakan-rakan terutama rakan-rakan bekas sesekolah dulu terutamanya dari kalangan perempuan telah pun sedia menjadi suri rumah untuk suami masing-masing. Itulah hakikatnya kedewasaan pabila manusia sudah berani mengikat tanggungjawab untuk diri. Pada tahap sebaya saya ini sememangnya berat untuk memikul sebarang tanggungjawab namun segalanya bergantung pada diri sendiri dan keyakinan mereka juga.


Tahun 2010 juga menandakan sudah selang empat tahun semenjak Piala Dunia terakhir dilangsungkan. Perlawanan terakhir lalu yang dimenangi pasukan Itali mengalahkan Perancis sememangnya beerti. Walaupun terbit juga insiden aneh seperti Zinedine Zidane menanduk dada seorang lagi pemain Itali, Marco Materazzi namun itulah menunjukkan warna-warni kehidupan. Edisi kali ini bakal berlangsung di Afrika Selatan. Namun mengikut jadual, diri ini akan melalui zaman latihan industri namun prioriti tetap diutamakan. Ilmu adalah penting dan amal melalui praktikal perlu dibiasakan demi kemudahan diri jua.



Antara peristiwa yang bakal dilangsungkan pada 2010 adalah pelancaran Menara Burj Dubai pada 4 Januari nanti bakal merasmikan bangunan tertinggi didunia itu. Tidak dilupakan juga Sukan Komanwel bakal dilangsungkan di Delhi, India pada Oktober nanti. Filem yang dinantikan pula adalah Prince Of Persia: The Sands Of Time merupakan filem yang dialih dari permainan video. Diuar-uarkan juga, sebuah lagi filem adaptasi dari permainan video adalah Tekken namun segalanya tampak belum pasti lagi.
Disebalik perkara hiburan yang melalaikan diri ini, perlu juga diri ini mengingatkan semula pada yang paling penting tidak kira ianya tahun 2010, 2020 mahupun 2100. Lagipun manusia ini adalah lemah tak terdaya kerana hanya Yang Esa saja tahu apa-apa yang telah dicatat untuk yang bakal berlaku di masa hadapan. Diri kita hanya mampu bertawakkal, bersedia dan redha pada segalanya. Buat akhirnya, Salam Tahun Baru Masehi dan juga Salam Tahun Baru Hijrah walaupun sudah memasuki 15 Muharam 1431H. Salam.



FEAR IS THE PATH TO THE DARK SIDE. FEAR LEADS TO ANGER. ANGER LEADS TO HATE. HATE... LEADS TO SUFFERING.
- Master Yoda -

1 comment:

Daud Mili said...

world cup aku sokong england...bleh x??..hahaha...~