Tuesday, January 5, 2010

Junior Sambest


Apakah signifikannya jika saya ingin membawa tajuk ini kepada umum? Sudah tentu saya tidak berharap pemikiran kritis dan rasional mengenai isu ini cuma saya sekali lagi cuba menitipkan disini untuk tatapan saya di hari kelak. Jika tidak, kemungkinan besar saya akan lupakan saja kisah ini dan merasa alangkah ruginya diri saya di masa depan kelak. Dengan sebab itu, disegerakanlah diri saya ini untuk menulis dan mengimbau semula sedikit-sedikit kisah muda remaja dulu mengenai adik-adik kecil kami semua.



Baiklah, Sambest adalah singkatan untuk Sekolah Agama Menengah Bestari JAIS USJ 5. Terletak betul-betul ditengah-tengah perumahan orang-orang kaya di Subang Jaya. Pada mulanya, sekolah ini adalah khas untuk pelajar-pelajar tingkatan empat dan lima namun sejak tahun 2000 pelajar tingkatan satu mula diambil untuk turut belajar disana. Kebetulan tahun 2000 adalah saya memasuki tingkatan satu namun saya hanya bersekolah di Hulu Selangor sahaja.

Alhamdulillah, keputusan PMR yang baik mengizinkan saya untuk diambil belajar di Sambest ini. Untuk pengetahuan, kelayakan untuk memasuki sekolah ini adalah tinggi walaupun tidak setinggi KISAS namun saban tahun berlalu kelayakannya semakin tinggi dan tinggi. Saya merasakan jika dengan keputusan PMR saya dahulu, saya mungkin tidak layak sama sekali untuk memasuki sekolah ini sekarang.

Jadi, secara lojiknya untuk tahun 2003 ketika saya memasuki tingkatan empat, kelayakan sekurang-kurangnya adalah 8A untuk memasuki sekolah ini adalah rendah. Namun pada tahun berikutnya 2004, kelayakan yang diperlukan bertambah tinggi untuk pelajar perempuan. Mahu tidak mahu mereka perlulah mencapai keputusan 9A untuk layak memasuki ke sekolah itu. Selepas itu, saya tidak tahu lagi kerana sudah keluar dari sekolah berkenaan. Besar kemungkinan kelayakan yang boleh mungkin 9A untuk lelaki mahupun perempuan dan juga rekod kokurikulum yang cemerlang. Ini agakan saya saja, bukanlah fakta.

Jadi fokus yang mahu saya bawakan disini, adik-adik yang baru masuk ke sekolah ini sudah tentu bijak-bijak belaka malah boleh dikatakan, sesetengah dari mereka sudahpun memiliki kepandaian luar biasa yang sama taraf dengan senior mereka di tingkatan lima. Genius, mungkin melampau tapi itulah pandangan saya pada segelintir dari mereka. Saya tidak tahu kelayakan sebenar untuk memasuki tingkatan satu disana cuma yang pasti mereka perlulah sekurang-kurangnya mendapat 5A untuk UPSR dan 90% ke atas untuk PSRA. Pemilihan pula tidak saya ketahui memandangkan saya mempunyai seorang anak saudara yang memperoleh keputusan seperti yang disebutkan namun gagal tersenarai sebagai pelajar sekolah itu untuk tahun 2009.

Antara kisah yang masih diingati pada tahun 2004, seorang junior dari tingkatan satu sengaja melihat-lihat apa yang sedang dibincangkan oleh kami pelajar tingkatan lima. Pelajaran yang dibincangkan adalah Matematik Tambahan yang sememangnya diakui subjek tersusah bagi kebanyakan dari kami untuk menguasainya. Lalu pelajar junior tersebut cuba memasuki perbincangan kami mengenai bab satu. Yalah, secara umumnya bab satu sememangnya bab yang mudah dan senang untuk apa-apa subjek pun. Tapi tiba-tiba saja adik kecil ini cuba memberi idea. Lantas beliau mengambil pen dan menconteng sedikit untuk menunjukkan kami cara kira yang lebih mudah dari apa yang kami amalkan. Wah, sudah tentu kami semua terkejut. Walaupun ianya cumalah bab satu, namun untuk adik tingkatan satu yang baru mendaftar sebulan dua untuk menunjukkan satu cara mudah jalan penyelesaian masalah kira-kira sudah tentu suatu perkara yang menakjubkan.

Antara lain, ketika asyik bermain carom mengisi ruang kebosanan di bilik rakan, kami sudah tentu diperhati oleh junior yang berkongsi bilik itu. Kadang-kadang mereka turut diberi peluang untuk bermain tapi agak jarang kerana jauh perbezaan umur dan senioriti. Itulah hakikat kehidupan yang sukar dielakkan. Ada sekali, saya dengan tidak sengaja menjentik buah dan berjaya memasukkan buah tertentu dan terus menang. Tidak pasti samada ikhlas ataupun cuma ingin mengipas, seorang lagi junior memuji saya. Tapi berselang beberapa hari kemudian saya kembali ke bilik tersebut dan terlihat kelibat beliau sedang bermain bersama rakan-rakan yang lain. Mungkin ini antara peluang yang jarang beliau dapatkan untuk bermain carom ini bersama senior tingkatan lima. Harapkan saja dia memuji saya tempoh hari, tapi hakikatnya beliau jauh lebih hebat dari saya. Sungguh ironi.




Tetapi kebetulan yang paling saya terujakan adalah pada tahun 2003. Tahun dimana saya baru saja memasuki sekolah elit tersebut. Saya ditakdirkan sebilik dengan beberapa orang. Seingat saya ada dua orang dari mereka sudah pun mencatat nama di dalam Malaysia ini cuma saya tidak ketahui di mana jejak mereka sekarang. Seorang rakan sebaya (walaupun sebilik tidak lebih dari tiga hingga empat bulan), tidak silap Najmudin namanya antara 20 orang tertinggi di Malaysia untuk SPM 2004 yang diterajui oleh Nur Amalina yang mula-mula memecahkan rekod 17 A1. Malangnya rekod yang diciptanya tidak dibuat di Sambest mungkin beliau sudah nampak lebih jauh dari orang lain. Memandangkan beliau adalah sebaya, tidak mahulah saya berceritakan sangat mengenai beliau. Seorang junior tingkatan satu ketika itu Ahmad Naufal berjaya mencatat nama sebagai pelajar PMR kedua terbaik seluruh Malaysia pada tahun 2005. Sebilik pun tidak mengapa walaupun mungkin beliau sudah tidak mengenali saya. Saya pasti kedua-dua mereka ini sudah pun menimba ilmu dari luar negara dan insyaAllah bakal mencurahkan semula budi dan bakti untuk Negara mereka.

Mengapa terdetik untuk menyatakan segala ini? Ya mungkin kerana berita Disember lepas menyatakan Sambest sekali lagi tersenarai untuk lima sekolah terbaik dalam kategori sekolah agama untuk PMR. Pertama kali didengar Sambest berjaya memecah masuk dan menaikkan nama adalah untuk PMR 2003 dimana Sambest menduduki tangga ke-13. Mungkin ramai rakan yang trauma dengan nombor 13 ini kerana pelbagai isu yang timbul kemudiannya. Tapi tidak mengapalah jika kisah itu disimpan buat sementara waktu. Untuk SPM? Mungkin rezeki sekolah ini belum tiba lagi namun InsyaAllah suatu hari nanti bakal mendapat tempat didalam senarai seluruh Malaysia.

Sibuk mengisahkan kehebatan sekolah ini didalam blog, adakah saya ingin meninggi diri? Jika saya jawab sendiri sudah tentu tidak. Buat apa? Bukannya diri saya yang turut terbabit sama dalam menaikkan nama sekolah itu. Malahan saya beranggapan diri saya adalah produk yang kurang cantik yang dihasilkan. Namun secara individu saya masih bergelut untuk keluar dari kegelapan dan keluh kesah dan berharapan suatu hari nanti sinar pasti kan hadir semula.

Ini hanyalah kerana saya amat merindui kebolehan dan bakat pelajar sekolah ini. Suasananya jauh dari keadaan biasa. Keistimewaannya saya beranggapan tidak akan terdapat di tempat lain. Suasana solat hajat automatik tanpa keluh kesah dan pelbagai elemen kerohanian yang ada memang istimewa. Ibarat kata-kata Ustaz Kamaruzzaman (KZ) “Secara lojik, kamu fikir kenapa sekolah kamu ini di atas bukit dan terletak ditengah-tengah taman perumahan yang rata-ratanya bukan Muslim? Kerana tempat ini Allah telah rancangkan untuk memberi rahmat dari atas puncak bukit dan dilimpahkan ke sekelilingnya semoga mereka mendapat hidayat dari Allah. Dan kamu sebagai pelajar sekolah ini sememangnya diamanahkan untuk berdakwah untuk orang ramai diluar sana nanti. Sememangnya generasi kami berharap pada generasi kamu. Nak harapkan rakan-rakan kamu diluar sana? Usahkan api, jauh panggang dari asap”.

Kini bertebaranlah hasil-hasil dari Sambest keseluruh pelosok dunia. Dari rakan sebaya saya saja antara yang dapat saya ingati adalah mereka yang belajar di Mesir seperti Warouq, Hafiz Hamzah et al. Beberapa rakan di Jordan seperti Tarmizi dan Mando et al. Di Morocco untuk jurusan agama seperti Shahrul Fadzli Hafiz et al. Di Australia seperti Fahimah Hambari dan juga Zaidani et al. Ada juga di Moscow, Rusia seperti Hamizah et al. Di Indonesia namun saya tidak mengingati nama mereka, maafkan saya. Dan tidak dilupakan jugak di Jerman, iaitu Fendi. Maafkan saya jika ada yang saya terlupa mana-mana pelajar lain yang belajar diluar negara sana. Tidak dilupakan juga majority dari kami yang masih lagi tinggal disini sedang berjuang walaupun tidak berpeluang ke luar sana. Walau apa sekali pun, perjuangan kita tetap diteruskan kerana kita sendiri semua tahu tanggungjawab kita yang amat berat kerana kita adalah pelajar keluaran Sambest. SAMBEST! SMART!!!


FEAR IS THE PATH TO THE DARK SIDE. FEAR LEADS TO ANGER. ANGER LEADS TO HATE. HATE... LEADS TO SUFFERING.
- Master Yoda -

7 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum.

seronok jumpa senior yang masih terkenang sambest

saya batch spm 2008, agak baru la jugak.

Untuk pngetahuan akh. Ya Allah, sambest mungkin gemilang dari segi akademik, alhamdulillah belum pernah turun setiap tahun.

Tetapi dari segi akhlaknya, hmm, setiap guru akan bercerita masalah yang sama.

Bukan ingin membuka pekung di dada, tetapi.. ingin mendepani realiti. Mohon jasa-jasa baik abang-abang yang di luar sana, jenguk2lah sambest - luangkan masa dan tenaga. Buat lah program, agar misi sekolah (tak pasti zaman abang ada ke tak) Akademik cemerlang sahsiah gemilang tercapai.

assalamualaikum.

Aderi Aryasu said...

Waalaikummussalam...
Hurm, mmg syg jgk kt skola tu... rasenye kt situ la dpt bentuk diri...

sempat tu, siap sempat nyanyi lagu skola lg...

psl nk turun skola tu, kne tgk org jgk dik... bukan semua berkomitmen tinggi... tp still ada jgk yg mahu mmbantu... contoh, Nadir Al-Nuri, kenal ke?

tapi, klau kamu sdh buat, buat sungguh2... kami sapot... insyaAllah

Muhammad Warouq bin Qamar said...

sambest smart!! heh. aku slalu singgah baca blog ko tp baru harini aku komen. nice2!

Anonymous said...

saya batch terawal sewaktu sambest dibuka.. mmg betul..kenangan terindah berada di sana.. medan tarbiah membentuk diri.. tkasih guru2 di sambest, Allah sahaja yg dapat membalas jasa kalian..kini saya sbg seorang guru di smk biasa, alangkah seronoknya jk dapat berbakti di sek agam.. mgkin ini jalan bagi saya menghadapi pelajar yg sangat ketandusan adab dan ilmu agama.. - noor syakilla sharif, batch 99 sambest

Syahrul Fadzli Hafiz said...

Salam.. Sambest Smart..! 8 tahun berlalu... masing-masing sudah berada di landasan kejayaan dan kehidupan masing-masing... syukur~... luar atau dalam negara bukanlah satu pengukuran...

Aderi Aryasu said...

Wassalam Syahrul Fadzli Hafiz. Hehe, saje je petik nama kau. Lama dah entri ni. Ya, betul. Masa ketika belajar mungkin tidak nampak secara overall beyond the time. Cuma apabila masing-masing selesai belajar barulah terlihat bahawa pancaroba dan dugaan mengharungi dunia itulah sebenarnya garis pengukur dan berdoalah supaya amalan kita diterima Allah S.W.T.

Syahrul Fadzli Hafiz said...

:)lame dh post ni... tapi try google my name, 1st yg kluar blog ni... bru thu ade org petik nama aku... he3...