Monday, September 28, 2009

Penghargaan Kepada Tokoh Jurutera Awam... Karl Von Terzaghi

Karl von Terzaghi



Karl von Terzaghi telah dilahirkan di Prague (ketika itu merupakan jajahan Empayar Austria-Hungary tapi kini ibu negara Republik Czech) pada 2 Oktober 1883 dan berbintang Libra nampaknya sama dengan saya. Bapa beliau adalah Liutenant Colonel Anton von Terzaghi dan ibunya ialah Amalia Eberle. Beliau adalah seorang jurutera awam dari Austria dan seringkali dipanggil Bapa Kepada Mekanik Tanah.

Oleh kerana ibubapa beliau tidak bersama lagi setelah lebih setahun, maka nama beliau pada awalnya adalah Karl Eberle. Selang beberapa tahun kemudian nama beliau ditukarkan kepada Karl Terzaghi. Ketika berumur 7 tahun, bapa beliau meninggal dunia dan datuknya melalui ibunya menjadi ketua keluarga untuk beliau. Beliau dikatakan telah mencontohi datuknya itu sehingga karakter datuknya menyerap masuk ke dalam dirinya sendiri.

Ketika berumur 10 tahun, beliau telah dimasukkan ke dalam sekolah tentera untuk menerima pendidikan. Minat beliau pada mulanya berkembang dalam bidang astronomi dan juga geografi sehinggalah beliau berumur 17 tahun. Akan tetapi, ketika berumur 14 tahun beliau telah memasuki pelbagai sekolah tentera di Hranice, Republik Czech. Beliau dikatakan menjadi seorang pelajar yang cemerlang lebih-lebih lagi dalam bidang matematik dan geometri.

Hakikat bahawa beliau adalah seorang lulusan jurusan Kejuruteraan Mekanikal tidak boleh disangkal. Disini dipetik dari pensyarah saya bahawa dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal inilah beliau memperoleh ilham mengenai sifat-sifat, ciri-ciri dan karakter tanah. Beliau telah bergraduasi pada tahun 1900 di Technical University di Graz, Austria dalam Kejuruteraan Mekanikal.

Beberapa ketika kemudian ketika mula merasakan bahawa Kejuruteraan Mekanikal tidak sesuai dengan dirinya, beliau berhasrat untuk menukar ke lapangan Kejuruteraan Awam pula. Sebelum itu, beliau telah cuba membabitkan diri dalam ketenteraan dalam meneruskan legasi ayahnya yang merupakan seorang tentera. Akan tetapi, hanya setahun didalam bidang ketenteraan beliau kembali memasuki universiti untuk melanjutkan pelajaran dengan menggabungkan geografi dan juga kejuruteraan jalan raya dan jalan keretapi. Ketika ini juga beliau menampakkan hasil dalam bidang akademik dengan menghasilkan kertas mengenai Teres Geologi di Styria, Austria.

Sebaik sahaja graduasi, beliau telah melakukan pelbagai tugasan untuk kerja-kerja bersama pelbagai firma dan kejayaan beliau mengatasi pelbagai masalah telah menaikkan nama beliau sehingga ke Rusia. Dalam pada itu, beliau telah menghasilkan pelbagai perubahan dalam metod dan rekabentuk industri tanki membuatkan beliau memperoleh Ijazah Kedoktoran dari Technical University.

Pada 1912 beliau telah merantau ke Amerika Syarikat dan melawat pelbagai tapak pembinaan kritikal untuk memperoleh ilmu dan pengetahuan terutamanya di pembinaan empangan. Beliau kemudian pulang ke Austria untuk mengaplikasikan ilmu beliau disana. Ketika Perang Dunia Pertama (WW1), beliau dimasukkan ke dalam pasukan tentera. Ketika ini, sebaik beliau mendapat tahu mengenai pemergian datuknya yang tercinta, beliau telah mengundur diri dari ketenteraan.

Selepas itu, di Kolej Diraja Uthmaniyah (Royal Ottoman College) Istanbul telah lahirlah legasi beliau mengenai bidang tanah. Disini beliau diamanahkan untuk mengkaji mengenai tanah dan menghasilkan cara ukuran empirik untuk mengetahui ciri-ciri tanah. Disamping mendapat panggilan Profesor, beliau telah mengusahakan pelbagai cara eksperimen dengan menggunakan peralatan yang mudah dan ringkas. Beliau telah menghasilkan pelbagai penerbitan dan dari hasil kajian beliau secara langsungnya telah mewujudkan satu bidang ilmu baru iaitu Kejuruteraan Geoteknikal.

Disebabkan kejayaan beliau yang hebat, beliau telah diberi peluang untuk bekerja di Massachusetts Institute of Technology (MIT) tapi pada hujungnya beliau agak kecewa untuk bekerja di sana dek kerana pelbagai halangan dan cabaran dari pihat atasan. Secara hakikat sebenar, beliau telah melalui pelbagai liku hidup, pertemuan dengan rakan penting Arthur Casagrande dan juga percintaan dan perkahwinan beliau bersama Ruth Dogget. Tapi segalanya tidak dapat dimuatkan disini.

Berpengalaman menimba ilmu di Rusia, beliau merasakan tidak sesuai dengan prinsip komunisma di sana. Isu politik mencampuri urusan kajian beliau juga berlaku ketika beliau berada di Austria. Pada 1938 di ambang Perang Dunia Kedua (WW2) beliau telah nekad untuk berhijrah ke Amerika Syarikat. Lima tahun kemudian pada 1 Mac 1943 beliau memperoleh kerakyatan Amerika Syarikat. Sumber dari pensyarah saya bahawasanya Amerika Syarikat cuba mendapatkan cerdik pandai dari Eropah lebih-lebih lagi mereka yang berhampiran dengan Jerman Nazi supaya mereka terlebih dahulu mendapat faedah ilmu dari mereka dan Karl von Terzaghi adalah salah seorang dari mereka itu.

Beliau masih lagi menyumbangkan ilmu dan idea-idea untuk bidang ilmu berkaitan tanah dan dalam pada itu beliau juga menjadi pensyarah separuh masa di Universiti Harvard sehingga tahun 1953. Sehinggalah pada tarikh 25 Oktober 1963 di Winchester, Massachusetts beliau telah meninggal dunia pada tarikh dan tempat tersebut. Ketika akhir hayatnya, beliau mengatakan ketidak puas hati beliau kerana merasakan kajian beliau belum lagi sempurna dan selesai. Bagi ramai orang, beliau masih lagi hidup kerana ilmu dan idea beliau masih lagi dipraktikkan hingga sekarang.

(Dalam mengabadikan nama beliau, sebuah empangan di barat Kanada dinamakan bersempena dengan nama beliau, Terzaghi Dam)


*Jika ramai boleh berbahasa Inggeris, Arab, Mandarin dan juga pelbagai bahasa bangsa lain, nampaknya Karl von Terzaghi telah mahir dengan Bahasa Bumi/Tanah kerana beliau telah 'berborak dan bertanya' dengan Tanah untuk mengenali ciri-ciri tanah di Bumi kita ini*

Antara istilah dari Karl von Terzaghi:

Erdbaumechanik - Soil Mechanic


Sumber maklumat:

1) http://en.wikipedia.org/wiki/Terzaghi
2) http://www.ejge.com/People/Terzaghi/Terzaghi.htm
3) http://knol.google.com/k/ray/karl-von-terzaghi/3ajhc7zrwtav1/3#


"Diinspirasi dan diilhamkan setelah melalui satu situasi yang menyedarkan diri ini. Ketika saya dan seorang rakan lain berborak mengenai perkara ilmiah, terbutirlah idea ini dalam diri saya. Ini kerana rakan saya telah disoal oleh pensyarah di kelasnya mengenai sebuah syarikat kontraktor antarabangsa yang sama sekali tidak akan mengambil pelajar UiTM kerana jika dipanggil untuk ditemuduga pun, mereka sama sekali tidak pernah tahu dan ambil tahu mengenai syarikat tersebut. Dan dalam kekesalan rakan saya telah mengatakan 'Kalau kita kenal pemain bola sepak, tapi kenapa kita tidak kenal mana-mana orang dan tokoh penting dalam kejuruteraan awam ini?'. Selang beberapa hari, pensyarah saya pula telah mengajak untuk mengenali serba sedikit mengenai Terzaghi. Jadi beliau pun bercerita serba sedikit dan saya mengambil tahu dengan lebih lanjut melalui laman web yang pelbagai. Jadi disinilah usaha saya yang teramat kecil ini untuk tatapan ramai. Disamping menghargai cetusan manfaat oleh Prof. Madya Abd Rahman Mahamood saya memulakan artikel untuk Karl von Terzaghi. Maafkan saya sememangya sumber rujukan saya hanyalah internet dan serba sedikit jika saya dapat nukilkan dari buku-buku yang ada. Juga maafkan diri ini kerana sememangnya saya akan mencampurkan pelbagai istilah dalam Bahasa Inggeris kerana istilah-istilah ini saya mula tahu dalam bahasa Inggeris, jadi saya biarkan saja begitu jika saya tidak menjumpai istilah lain dalam Bahasa Melayu."





FEAR IS THE PATH TO THE DARK SIDE. FEAR LEADS TO ANGER. ANGER LEADS TO HATE. HATE... LEADS TO SUFFERING.
- Master Yoda -

1 comment:

ASaL said...

usaha bagus teruskan, print dah bagi nota untuk adik2 mesti diaorang suka, lebih2 lagi ditulis dalam bahasa Melayu.