Thursday, September 16, 2010

Hari Malaysia




Rasanya, 16 September tidak pernah diambil endah oleh orang ramai sebelum 2008. Saya tertanya juga, mengapa sambutan kemerdekaan biasanya bermula dari 16 Ogos dan berakhir pada 16 September? Lambat laun saya sedari 16 September adalah tarikh dimana Sabah dan Sarawak menyertai Tanah Melayu untuk menjadi Malaysia. Tidak dilupa juga ketika itu Singapura turut serta dalam Malaysia.

Tapi kenapa saya menyatakan tahun 2008? Cuba ingat kembali, apa yang dirisaukan ketika 16 September 2008. Suatu perkara telah diagahkan, dan menjadi kerisauan juga pada sesetengah pihak. Tapi sekarang tidak lagi, dengan pelbagai kemelut, rasanya perkara itu tidak berlaku. Tambahan pula 16 September mulai tahun ini (2010) adalah cuti umum, maka perkara itu mustahil berlaku. Tiada sidang pada cuti umum, ya.

Baiklah, masa telah beredar. Pemikiran bagi rakyat pun berbeza. Mereka yang lahir tahun 1930an, takkan sama dengan yang lahir 1940an. Juga 1950an, 60an, 70an, 80an, 90an, 2000an dan 2010an. Sebagai contoh, mereka yang lahir ketika 1930an telah merasa peritnya ketika dijajah tapi bagi mereka yang lahir pada 1980an, tidak akan dan mustahil sama sekali untuk merasa penderitaan itu. Bagi mereka, lahir-lahir saja sudah ada elektrik, kemudahan air dan pelbagai lagi. Apatah lagi mereka yang lahir pada tahun 2000an. Bukan saja letrik, malahan jalur lebar pun sudah ada.

Jadi, pada kami ini, sekurang-kurangnya sayalah, saya memang merasakan Sabah dan Sarawak itu adalah dari kita. Dua negeri di timur dipisahkan oleh Laut China Selatan tetapi masih lagi Malaysia. Walaupun melihat rakan dari Kuching berbicara, Adrien, memang saya tidak faham langsung. Tapi saya tahu, dia adalah sahabat saya. Dia sama saja negara dengan saya. Cuma kekayaan budaya itu amat berharga.

Tapi saya mungkin terbayang, apa yang difikirkan oleh arwah bapa saya ketika tahun 1962. Adakah beliau sudah merasakan Sabah dan Sarawak itu salah satu dari beliau? Maksudnya, ketika itu semenanjung ini saja sudah satu negara iaitu Persekutuan Tanah Melayu. Sabah pun belum tentu mempunyai nama kerana dipanggil Borneo Utara. Maaf, kerana saya tidak pernah lagi menemuramah salah seorang dari mereka yang lahir dan dapat merasakan tahun 1963.

Agakan saya, mungkin ianya dirasa seperti tanah asing. Tapi beruntung pada saya yang sejak lahir sudah melihat peta Malaysia. Sebuah negara yang terdiri dari semenanjung di barat dan dua negeri di timur. Itulah Malaysia, jika tiada semenanjung, bukanlah Malaysia. Sama juga jika tiada Sabah dan Sarawak, tiadalah Malaysia.

Itulah keunikan pembentukan sebuah negara. Hasil persetujuan dan pungutan suara maka terbentuklah sebuah negara yang kaya dengan variasi budaya. Saya tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke Sarawak mahupun Sabah. Pada pandangan saya, kedua-dua negeri ini adalah negeri hutan. Maafkan saya, negeri yang masih menjaga hutan yang menjadi nadi kepada semua hidupan. Tanpa pohon-pohonan itu, siapalah kita.

Ada juga sentimen yang menyatakan, pihak barat sibuk menyuruh kita menjaga alam sekitar dengan tidak menebang hutan. Tapi dalam masa yang sama, mereka menebang hutan dan mengecapi kemajuan dengan melaksanakan pelbagai pembangunan. Sedangkan mereka membiarkan negara lain berada pada tahap yang sama tanpa kemajuan kerana tidak membenarkan penebangan hutan. Saya takut, perkara yang sama sedang berlaku pada dua negeri ini.

Walaupun tidak pernah melihat sendiri, namun disiarkan di televisyen, mengenai kekurangan infrastruktur disana. Kasihan rasanya, ini negara Malaysia, yang bakal menjadi negara maju pada 2020. Tapi, kenapa masih ditinggalkan dibelakang? Bukan Kuala Lumpur saja yang hanya dipandang. Tempat-tempat lain juga akan dinilai.

Minda saya bukanlah mengejar kemajuan. Cuma merasakan setiap manusia dibawah tadbiran negara ini patut mendapat segala kemudahan dengan saksama. Sekurang-kurangnya benda-benda asas. Sepatutnya benda-benda 'Fundamental', memang sangat-sangat diperlukan oleh rakyat. Semua ini sepatutnya disediakan dengan sewajarnya. Maafkanlah saya, saya bukannya orang sana cuma saya adalah seorang rakyat Malaysia yang merasakan mereka disana adalah saudara-saudara saya juga.

Jadi bersempena hari Malaysia yang kini sudah dijadikan sebagai cuti umum, diharapkan dapat menerapkan lagi kefahaman semua rayat tidak kira mana-mana lapisan pun terhadap negara Malaysia itu sendiri. Semoga mereka semua akan cuba ambil tahu, kenapakah hari ini mereka mendapat cuti. Sekian.

“PATRIOTISM IS SUPPORTING YOUR COUNTRY ALL THE TIME, AND YOUR GOVERNMENT WHEN IT DESERVES IT” – Mark Twain -

No comments: